Monday 1 September 2014

Dua jenazah juruterbang MH17 antara sembilan yang tiba di Malaysia pada Selasa

Sembilan jenazah mangsa tragedi MH17 akan tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada Selasa, untuk istiadat penghormatan.

SEPANG: Jenazah dua juruterbang pesawat MH17 iaitu Kapten Wan Amran Wan Hussin dan Kapten Eugene Choo Jin Leong antara sembilan jenazah yang akan tiba di Malaysia esok.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, selain itu dua jenazah warga Belanda iaitu Paul Goes serta Fan Shun Po adalah penumpang dan bendera Belanda diletak masing-masing di atas keranda serta bekas abu mereka.

Katanya, daripada tujuh warganegara Malaysia, dua beragama Islam manakala lima lagi bukan Islam, melibatkan tiga penumpang dan empat anak kapal.

Kesemua jenazah - lima keranda dan empat bekas abu - dibawa melalui pesawat komersial dari Amsterdam dan dijadual tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA esok bagi istiadat penghormatan jenazah tragedi pesawat MH17 pada 8.30 pagi, katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, menteri-menteri kabinet, dan waris keluarga mangsa tragedi akan menghadiri istiadat itu dan hadirin akan bertafakur selama seminit, katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hishammuddin berkata lima jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan dan tempat persemadian menggunakan kenderaan jenazah manakala empat jenazah lagi akan diterbangkan menggunakan dua buah helikopter EC725.

Dua jenazah akan diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang manakala masing-masing satu jenazah ke Bukit Mertajam dan Teluk Intan, katanya.

Beliau berkata bagi penerbangan ke Bukit Mertajam, jenazah terlebih dahulu dibawa ke Taman Skyline, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dengan kenderaan jenazah sebelum diterbangkan ke Bukit Mertajam.

"Setakat ini kita telah berjaya membawa pulang 24 jenazah rakyat Malaysia dari Belanda. Jumlah 24 jenazah ini melibatkan 12 orang beragama Islam dan 12 bukan Islam," katanya, sambil menambah ia melibatkan 14 penumpang dan 10 anak kapal serta kru teknikal.

Dengan tujuh lagi jenazah dijangka dibawa pulang esok, maka 31 jenazah rakyat Malaysia yang telah dikenal pasti sebelum ini dapat dibawa pulang dari Belanda.


Senarai 9 jenazah mangsa tragedi MH17 yang akan tiba pada Selasa - Gambar Rahimah Abdullah


Senarai 9 jenazah mangsa tragedi MH17 yang akan tiba pada Selasa - Gambar Rahimah Abdullah

Di bawah merupakan nama sembilan jenazah mangsa tragedi MH17 yang akan tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada Selasa, untuk istiadat penghormatan.

Warga Malaysia:
1) Kapt Wan Amran Wan Hussin (L)
2) Kapt Eugene Choo Jin Leong (L)
3) Kaelamayajay Goes (P)
4) Subashni Jretnam (P)
5) Sanjid Singh Sandhu (L)
6) Muhd Firdaus Abdul Rahim (L)
7) Loh Yan Hwa (P)

Warga Belanda:
1) Paul Goes (L)
2) Fan Shun Po (L)

-- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment