Monday 8 September 2014

Laluan selamat ke lokasi nahas masih jadi kebimbangan besar

Hishammuddin berkata pemergiannya ke Kiev malam ini untuk memastikan keselamatan pasukan negara di lokasi nahas.

KUALA LUMPUR: Laluan selamat untuk pasukan keselamatan negara ke lokasi nahas Penerbangan MH17 di wilayah Donetsk, timur Ukraine, masih menjadi kebimbangan besar walaupun gencatan senjata telah diumumkan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pemergiannya ke Kiev malam ini untuk memastikan keselamatan pasukan negara di lokasi nahas bukan suatu tugas yang mudah.

"Alhamdulillah gencatan senjata telah diwujudkan tetapi yang menimbulkan kebimbangan ialah sama ada kita boleh sampai ke lokasi nahas, menjamin laluan selamat kepada anggota-anggota pasukan penyiasat kita.

"Sama ada kita boleh mendapatkan penyertaan negara lain seperti Belanda dan Australia untuk menyertai pasukan...itulah yang saya akan usahakan apabila saya ke Ukraine," kata beliau pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Segambut di sini hari ini.

Gencatan senjata antara pasukan kerajaan Ukraine dan puak pemisah pro Rusia dicapai pada Jumaat lepas susulan perjanjian yang dimeterai di Minsk, Belarus.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bersama 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Pesawat malang Boeing 777-200 itu dipercayai telah ditembak jatuh di wilayah berkenaan. Daripada jumlah itu, 43 orang ialah warga Malaysia.

Tujuh lagi rakyat Malaysia yang menjadi korban tragedi MH17 dibawa pulang Selasa lepas, menjadikan jumlahnya 31.

--Sumber:  Bernama

No comments:

Post a Comment