Saturday 6 September 2014

Awas: Tiram ada toksin bahaya

Adnan (kiri) menunjukkan kepada Shafik Fauzan (kanan) sampel kerang termasuk dua sampel tiram yang disahkan beracun di temui di perairan Pelabuhan Kuantan.
Adnan (kiri) menunjukkan kepada Shafik Fauzan (kanan) sampel kerang termasuk dua sampel tiram yang disahkan beracun di temui di perairan Pelabuhan Kuantan.

KUANTAN - Orang ramai dilarang keras mengambil atau mengutip kerang-kerangan di sekitar Pelabuhan Kuantan kerana ia disahkan mengandungi toksin Paralytic Shellfish Poisoning (PSP) yang boleh membawa kepada kematian kepada individu yang memakannya.

Laporan Jabatan Perikanan Negeri Pahang memaklumkan berlaku kejadian keracunan akibat memakan tiram melibatkan lapan orang pekerja warga asing di kawasan berkenaan pada 1 Ogos lalu dan ia disahkan berpunca dari PSP.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, susulan kejadian itu Jabatan Perikanan menjalankan pensampelan kerang jenis tiram untuk analisis dan berjaya mengesan toksin berbahaya itu.

Menurutnya, keputusan diperoleh menunjukkan bacaan toksin PSP bagi sampel tiram adalah melebihi piawaian ditetapkan iaitu melebihi 80 mikrogram (ug) per 100 gram.

“Bacaan toksin PSP yang diperoleh bagi sampel tiram tersebut adalah di antara 317 hingga 3,560 ug/100 gram.

“Kehadiran mikroalga dinoflagellate jenis Pyrodinium bahamense var compressum di kawasan perairan pelabuhan Kuantan adalah menjadi punca berlakunya pengumpulan toksin PSP melalui sifat pemakanan menapis tiram.

“Dua sampel kerang yang dilakukan analisa ialah jenis tiram (Crassostrea belcheri) atau Tiram Flat Oyster (Ostrea folium)," katanya.

Menurutnya, toksin PSP boleh menyebabkan mangsa mengalami gangguan sistem saraf iaitu akan mengalami kebas-kebas di bahagian bibir, lidah, jari, jemari selepas beberapa minit memakan kerang.

“Diikuti kebas di bahagian kaki, tangan dan leher dengan kesakitan di bahagian sendi-sendi, kejang di bahagian abdominal (perut).

“Tanda-tanda lain dilaporkan adalah muntah, mual, pening dan kesukaran bernafas serta kematian boleh berlaku sekiranya mangsa mengalami keracunan teruk,” katanya kepada media selepas merasmikan seminar pengukuhan komuniti perikanan di De Rhu Resort, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Pahang, Adnan Hussain.

Kata Shafik Fauzan, bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mengutip, memakan atau menjual hasil kutipan kerang-kerangan di kawasan perairan pelabuhan serta sekitar.

“Jabatan Perikanan sentiasa meningkatkan pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan terlibat bagi memastikan lokasi itu bebas daripada pencemaran PSP.

“Kes ini bukan masalah biasa dan ia sudah berada di peringkat serius, oleh itu semua pihak harus berwaspada dan memberi kerjasama.

“Kita juga sudah memasang papan tanda di kawasan berkenaan sebagai peringatan dan amaran serta setakat ini kawasan perairan lain masih bebas dari pencemaran toksin PSP,” katanya.

-- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment