Tuesday 12 August 2014

TNB tawar insentif Sinaran Merdeka 2014


Insentif berkenaan diberi sejak tahun 2000 kepada semua pengguna perdagangan menerusi tarif B, C1 dan C2. 

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menawarkan insentif Sinaran Merdeka 2014 bagi menggalakkan pengguna komersial menerangi bangunan dan kawasan persekitaran masing-masing dengan lampu hiasan bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-57.

Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata insentif berkenaan diberi sejak tahun 2000 kepada semua pengguna perdagangan menerusi tarif B, C1 dan C2.

"Mereka yang terlibat ialah pengguna bangunan pencakar langit, bangunan pejabat, kompleks komersial dan beli-belah, hotel serta stesen minyak.

"Kadar insentif adalah 17.8 sen/kWh (kilowatt-jam) bagi jumlah peningkatan penggunaan tenaga elektrik yang melebihi purata kegunaan tiga bulan yang diambil dari Mei, Jun dan Julai 2014," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata insentif itu adalah dalam tempoh kegunaan dua bulan bermula 1 Ogos lalu hingga 30 Sept ini.

Pengguna yang layak boleh mendapatkan borang permohonan di semua pejabat, Pengurus Besar (negeri) atau pejabat Pengurus Kawasan.

Tarikh tutup permohonan ialah pada 15 Sept ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment