Tuesday 12 August 2014

Letak jawatan tindakan terhormat jika tidak sokong MB - penganalisis

Letak jawatan tindakan terhormat jika tidak sokong MB - penganalisis

SHAH ALAM: Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang tidak bersetuju dengan keputusan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal menerajui negeri itu disaran membuat keputusan terhormat dengan meletak jawatan, demikian pendapat beberapa penganalisis politik.

Mereka berkata tindakan itu paling wajar dilakukan, khususnya untuk exco daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) memandangkan parti itu bertanggungjawab memulakan kempen menyingkirkan Abdul Khalid daripada kerusi Menteri Besar.

Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata exco berkenaan tidak sewajarnya bermain teka-teki berhubung pendirian mereka dalam isu berkenaan.

"Mereka daripada PKR dan DAP perlu menghormati pendirian parti yang terang-terangan mahu menyingkirkan Abdul Khalid, jadi tidak adil untuk mereka menyatakan akan berkhidmat untuk rakyat pula sebagai alasan kekal sebagai exco," katanya.

Ahmad Marthada berkata exco berkenaan juga perlu sedar bahawa mereka dilantik oleh Abdul Khalid atas kapasiti sebagai MB, yang kini bergantung kepada sokongan daripada PAS dan parti lawan Barisan Nasional (BN) berhubung kedudukannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Kedudukan Abdul Khalid selaku menteri besar mulai goyah apabila beliau diminta parti untuk mengosongkan kerusi itu, dan PKR mencadangkan agar jawatan itu diberikan kepada presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Krisis itu meruncing apabila Abdul Khalid yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang dipecat daripada PKR pada Sabtu lalu, yang menyebabkan kedudukan terkini DUN Selangor menjadi PAS (15), DAP (15), PKR (13), BN (12) dan Bebas (1).

Ahmad Marthada juga berkata cabaran kepada Abdul Khalid kini adalah untuk membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti DUN, supaya dapat memberi kelegaan kepada pihak yang terlibat dalam insiden itu, termasuk kepada rakyat yang semakin bosan dengan 'drama' ini.

Ahli GeoStrategi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan juga bersetuju agar exco berkenaan meletak jawatan atau Abdul Khalid menggunakan kapasiti sebagai menteri besar untuk menggugurkan mereka yang berbeza pandangan bagi melicinkan pentadbiran.

"Parti politik kena sedar bahawa dalam 'permainan' ini, orang yang cuba disingkirkan itu (Abdul Khalid) berada dalam kedudukan lebih tinggi dan mendapat sokongan daripada Sultan (Sharafuddin Idris Shah).

"Sekurang-kurangnya setakat ini, masa berpihak kepada Abdul Khalid sehingga ada usul untuk mengadakan undi tidak percaya terhadapnya, namun sidang DUN tergempar memerlukan persetujuan Sultan," katanya dan menambah krisis ini mungkin akan timbul kembali pada sidang DUN yang dijadualkan Oktober ini.

Ditanya sama ada Abdul Khalid boleh memilih jalan selamat dengan melantik exco baharu daripada PAS sahaja yang secara terang-terangan menunjukkan sokongan kepadanya, Azmi berkata adalah tidak sesuai jika jawatan itu dimonopoli satu parti.

"Apa lagi mengambil kira faktor PAS bukan majoriti dalam DUN Selangor, jadi lebih baik beliau melantik juga wakil daripada BN memandangkan parti itu juga berdiri di belakang beliau dalam krisis ini," katanya.

Penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar berkata Abdul Khalid tidak perlu terlalu 'berlembut' berhubung kedudukan exco PKR atau DAP, kerana beliau kini adalah 'MB bebas yang tidak boleh disentuh PKR dalam politik atau mempunyai kebertanggungjawaban kepada parti itu'.

"Bagaimanapun Abdul Khalid perlu terus bersedia kerana tidak mustahil beliau akan terus diaibkan atau persoalan mengenai integritinya terus dipersoalkan," katanya.

Chandra secara peribadi berpendapat exco PKR dan DAP akan terus berpaksikan kepada pendirian parti untuk tidak menyokong Abdul Khalid atas semangat kepartian.

"Mereka masih boleh bekerja dengan Abdul Khalid, namun bimbang pula dikatakan membelakangkan parti, dan sebenarnya mereka juga masih mempunyai pilihan ketiga iaitu menjadikan kepentingan rakyat Selangor sebagai keutamaan dan buat keputusan secara individu dengan keluar parti," katanya.

Beliau berkata, Abdul Khalid juga boleh membuka fenomena baharu dengan melantik wakil BN sebagai exco, sekali gus akan mengetuai kerajaan campuran, namun ia memerlukan persetujuan daripada BN.

"Sekarang ini, Abdul Khalid amat memerlukan sokongan daripada BN kerana kerajaan minoriti di Selangor tidak stabil dan bila-bila masa sahaja mereka yang menentangnya boleh membawa usul undi tidak percaya terhadapnya," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment