Tuesday 5 August 2014

Simpanan air Empangan Sungai Selangor di tahap kritikal

SPAN didesak mengambil langkah proakfif menyelesaikan masalah bekalan air untuk penduduk Selangor.

KUALA LUMPUR: Gabungan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (GBC) hari ini menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengambil langkah proaktif menyelesaikan masalah bekalan air untuk penduduk Selangor.

Pengerusi GBC Datuk Mohd Said Mat Saman berkata, SPAN perlu mengutamakan keperluan air bagi penduduk di Selangor tanpa menunggu permohonan daripada kerajaan negeri untuk melaksanakan pelan catuan dan sebagainya.

Katanya, Suruhanjaya itu perlu berhenti dari sikap "tunggu dan lihat" sebelum hanya mengikut arahan kerajaan negeri Selangor untuk mencatu bekalan air.

"Sebagai badan berkuasa yang memberi nasihat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) sebagai 'independent regulator', SPAN perlu sedar bahawa keadaan berisiko tinggi akan menjejaskan perkembangan perniagaan dan industri secara besar-besaran," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas situasi bekalan air di Selangor yang dilaporkan kritikal berdasarkan maklumat empangan di laman sesawang Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Menurut laporan itu, simpanan air di Empangan Sungai Selangor kini mencatat paras 32.74 peratus. - Bernama

No comments:

Post a Comment