Thursday 28 August 2014

Sepasang model berpakaian separuh bogel didenda RM400

Majistret menjatuhkan hukuman denda RM400 dan memerintahkan tertuduh masing-masing dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

IPOH: Sepasang model masing-masing didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kegusaran am kepada awam apabila berpakaian menjolok mata, pada Isnin lepas.

Majistret Haslinda A Raof menjatuhkan hukuman itu terhadap How Jo Yee, 21, serta Low Kah Wai, 27, dan memerintahkan tertuduh masing-masing dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di lampu isyarat Jalan Sultan Yusuff di hadapan Bank CIMB di sini, pada pukul 9 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman denda RM400 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Andrew Soong Tze Toong.

Menurut fakta kes, Low hanya berseluar panjang hitam manakala How memakai seluar dalam dan coli ketika berada di tempat awam.

Perbuatan itu dilihat oleh beberapa orang awam dan telah dirakam sebelum tersebar dalam laman sosial serta akhbar.

Harris Ong berkata mahkamah perlu mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh agar ia memberi pengajaran kepada mereka serta anggota masyarakat lain supaya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan yang dilakukan.

"Negara kita hidup dalam aman damai, mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa. Hak-hak kaum lain perlu dilindungi dan dihormati," katanya sambil menjelaskan bahawa kedua-dua tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah.

Terdahulu, Andrew Soong berkata kedua-dua tertuduh memohon maaf secara umum kepada semua masyakat atas perbuatan tidak senonoh yang dilakukan itu.

"Gambar-gambar yang tersebar dalam laman sosial bukan di muat naik oleh mereka sendiri sebaliknya di muat naik orang awam. Mereka tiada niat untuk sebarkan gambar tidak senonoh itu," katanya.

Sebanyak enam laporan polis telah dibuat pelbagai pihak apabila melihat pasangan model itu berpakaian demikian ketika dikatakan menjalani sesi fotografi.

-- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment