BUTTERWORTH - Seramai 24 wanita Vietnam yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Pulau Pinang di sebuah premis hiburan di Georgetown, dekat sini malam tadi.
Kesemua wanita berusia 18 dan 26 tahun itu ditahan ketika sedang melayan pelanggan dan hasil pemeriksaan mendapati mereka menyalahguna pas lawatan sosial.
Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang Hasbullah Abdul Rashid berkata seramai 31 wanita asing diperiksa dalam operasi pada pukul 9.30 malam itu.
Tujuh yang lain, termasuk rakyat China dan Indonesia dibebaskan selepas dikesan tidak melakukan kesalahan, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hasbullah berkata turut ditahan ialah seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang bekerja sebagai penjaga premis itu.
"Hasil pemeriksaan kami dapati ada antara wanita yang ditahan itu telah beberapa kali masuk ke negara ini sebagai pelancong dan ada juga yang masuk ke negara ini sejak tahun 2009," katanya.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment