Thursday, 28 August 2014

Bahayanya Wanita & lawak 'double meaning'






SEKALI lagi, Rumah Karya Citra Sdn Bhd mementaskan semula teater Bahayanya Wanita buat kali ketiga selepas ia baharu sahaja dipentaskan di Star Theatre, Singapura pada 16 Ogos lalu.

Baharu sahaja tirai Bahayanya Wanita dilabuhkan selepas lima hari dipentaskan bermula 20 Ogos lalu di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) Ahad lalu, nyata ia memberikan satu kelainan persembahan tahun lalu.

Mengekalkan barisan pelakon hebat seperti Zizan Razak, Datin Paduka Umie Aida, Erra Fazira, Nora Danish dan Erma Fatima, teater ini turut menampilkan pelakon lain seperti Raja Ema, Zulin Aziz, Che Kem, Rudy Imran dan Neelofa.

Pementasan selama tiga jam setengah itu, dimulakan dengan babak pertemuan antara Farhana dengan Maadon di Singapura selepas diperkenalkan oleh Sam, pengarah dan juga sahabat Maadon.

'Bahayanya Wanita' mengisahkan Syed Maadon Al-Attas, seorang tokoh korporat yang berjaya dalam bidang perniagaan hasil daripada kekayaan isteri pertamanya, Sharifah Fatimah Maruka.

Dek sikap ego Sharifah, dia berasa tercabar apatah lagi wanita tersebut mandul menyebabkannya menyunting Kamelia sebagai isteri kedua.

Namun begitu, rimas dengan perangai Kamelia yang terlalu mengada-ngada dia mula mencipta alasan dan kemudiannya berkahwin dengan Farhana, pelakon cantik dari Singapura.

Apabila rahsianya terbongkar berkahwin tiga, isteri-isteri Maadon mula bergaduh sesama sendiri menyebabkannya mula mencari ketenangan di luar dan bertemu dengan Suti Lambung, si janda kelahiran tanah seberang.

Menyentuh mengenai persembahan malam tersebut (20 Ogos), lakonan Zizan Razak paling mencuri perhatian penonton sebagai lelaki yang mengamalkan poligami.
Apa tidaknya, penonton tidak kering gusi dengan telatahnya dari awal sehingga akhir persembahan dengan lawak spontannya.

Namun di sebalik lawak itu, ia sebenarnya mengejutkan ramai penonton kerana terdapat banyak lawak 'double meaning' atau lebih tepat disebut 'lucah'. 

Bagi penulis ia agak keterlaluan, sementelah penonton teater ini bukan terdiri dari golongan dewasa sahaja, bahkan juga kanak-kanak. Maka, ia harus menjadi tanggungjawab produksi untuk menangani situasi seperti ini dari terus berulang lagi. 

Beralih mengenai watak-watak lain, tidak dapat dinafikan, watak Umie Aida sebagai isteri pertama cukup kena dengannya malah mampu 'mengawal' perangai Zizan yang 'gila-gila' dengan baik.

Kehebatan Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2013 ini, tidak dapat dipertikaikan lagi dengan lakonan mantapnya sebagai isteri angkuh dan melayan suaminya bak orang suruhan.

Begitu juga dengan aktres jelita Erra Fazira yang cukup menghiburkan dengan wataknya sebagai isteri kedua yang lemah lembut, namun kuat mengadu dengan madunya, Sharifah.

Gabungan mereka berdua cukup mencuit hati kerana masing-masing tidak mahu mengalah dengan Farhana, madu baharu mereka.

Bagi penulis, watak Farhana yang didukung Nora Danish amat sesuai dengan pelakon comel itu yang memerlukannya bersikap manja, gedik dan mengada-ngada.

Selain lakonan yang mantap dan jalan cerita yang menghiburkan, satu lagi perkara yang harus dipuji adalah latar belakang atau props pentas yang cukup mengagumkan.

Menggunakan props mewah yang sesuai dengan kehidupan Maadon dan ketiga isterinya, begitu juga perkampungan setinggan Janda Molek yang didiami warga asing tampak 'buruk dan miskin'.

Secara keseluruhan, pementasan Bahayanya Wanita lebih berbisa dan mantap berbanding kali pertama ia dipentaskan tahun lalu.


Zizan tak sensitif?

Biarpun menyajikan lakonan yang cemerlang, namun Zizan Razak atau nama sebenarnya, Mohd Razizan Abd Razak, 30, masih lagi dikritik gara-gara dialognya yang agak lucah.

Malah Zizan juga membangkitkan isu-isu 'panas' melibatkan pelakon-pelakon yang berlakon bersamanya.

Menjawab isu tersebut, Zizan menegaskan bahawa dialognya ditapis terlebih dahulu dan meminta kebenaran pengarah sebelum ia dipentaskan.

"Saya rasakan ia tidak keterlaluan kerana ia bertepatan dengan watak Maadon yang gatal dan playboy. Dari bentuk lakonan masing-masing dah tahu dan bersikap profesional. Ia sekadar gurauan dalam pementasan sahaja.

"Lagipun saya suka bermain dalam main jadi semua dah tahu perangai saya jenis yang gila-gila," katanya.

Tegasnya, lawak 'lucahnya' itu berbayar dan bukannya menjadi satu masalah baginya.

"Penerimaan penonton setakat ini sangat memberangsangkan dan perkara ini tidak mendatangkan isu kepada saya.

"Kalau perkara itu sensitif, saya juga tidak berani untuk bergurau dengan mereka. Masing-masing faham dan profesional dalam pementasan ini," katanya bakal muncul dengan projek terbaharunya Polis Evo arahan Ghaz Abu Bakar dan Cicakman.

Bercerita mengenai pementasan di Singapura baru-baru ini, Zizan berkata dia agak terkejut dengan sambutan yang diterimanya.

"Tak sangka ia mendapat sambutan di luar jangkaan kerana peminat begitu suka dengan persembahan kami.

"Bahkan, mereka sanggup menunggu sehingga kami habis pementasan untuk berjumpa dengan pelakon," katanya yang agak letih dengan kepadatan jadual hariannya. 


Erma cipta kelainan

Memang diakui karya-karya Erma Fatima tidak pernah mengecewakan peminat teater sejak dia mula mengarahkan pementasan teaternya di Panggung Sari, Istana Budaya.

Pelakon dan pengarah ini berkata, dia begitu teliti dalam pemilihan skrip sehingga sekarang lebih senang menulis skrip sendiri demi kepuasan hati.

Begitu juga dengan Bahayanya Wanita, Erma berkata selepas maklum balas daripada penonton tahun lalu, dia melakukan beberapa perubahan untuk pementasan kali ini.

"Terdapat beberapa perubahan kecil yang dilakukan pada malam ini terutamanya dalam usaha memantapkan lagi watak-watak isteri yang terpaksa bermadu.

"Termasuk babak di pejabat agama yang melibatkan watak Ustaz Jon sebelum ini dibawakan Johan Asari dipotong agar padat.

Katanya, walaupun begitu tidak banyak babak yang dipotong sebaliknya dipadatkan lagi untuk memantapkan watak dan perwatakan Sharifah, Kamelia, Farhana dan Suti.

"Selain itu, saya memperkenalkan beberapa watak baharu melibatkan Raja Ema sebagai ibu Farhana dan Neelofa, seorang gadis Siam.

"Watak ibu (Raja Ema) ini dimasukkan kerana sering kali kita mendengar bahawa dalam pergolakan sesebuah rumah tangga, kebanyakannya berpunca daripada ibu mentua.

"Sikap ibu mentua yang lebih sudu dari kuah. Pemilihan Raja Ema pula saya rasakan ia sesuatu yang comel," katanya.


Pementasan terakhir

Melihatkan kejayaan pementasan kali pertama, Erma mengatakan jemputan re-stage buat kali kedua di Singapura, baru-baru ini membuatkan dia bangga dengan komitmen yang diberikan semua pelakon yang terlibat.

Selepas pementasan ketiga bermula Rabu lalu, Erma menegaskan bahawa dia tidak akan mengulangi buat kali keempat biarpun mendapat permintaan tinggi.

"Cukuplah tiga kali dipentaskan. Saya sebenarnya tidak suka teater ini dipentaskan banyak kali.

"Bahkan dua kali sudah memenatkan apatah lagi ini sudah kali ketiga.

"Lagipun saya ingin menumpukan teater saya yang lain yang akan dipentaskan hujung tahun ini di sini," katanya.

Ditanya mengenai yang mana satu karyanya bakal dipentaskan nanti, Erma berkata dia masih lagi membuat keputusan untuk memilih antara dua teater iaitu Isabella atau Laila Majnun.

"Saya masih lagi memikirkannya kerana Isabella adalah satu naskhah yang berat mengenai seorang nun menganut agama Islam. Ia mungkin mengundang kontroversi lagi seperti teater Natrah.

"Manakala Laila Majnun pula, saya lebih suka ia klasik namun Pengarah IB (Datuk Juhari Shaarani) mahukan ia moden. Kedua-duanya membuatkan saya pening untuk memilih," katanya.

-- Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment