Friday 1 August 2014

Pemandu bas mogok, Tambak Johor sesak teruk

Pada jam 9:40 pagi, LTA melaporkan bahawa bas 160, 170, 170X telah memulakan separuh perjalanan manakala bas 950 telah mula beroperasi sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Pemandu bas Malaysia yang membawa pekerja kilang serta kanak-kanak sekolah dari Johor Bahru ke Singapura telah melancarkan mogok pagi ini yang menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di Tambak Johor.

Dalam laporan Channel News Asia, mogok tersebut dilancarkan disebabkan kenaikan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) berkuatkuasa hari ini, 1 Ogos yang akan memberi kesan ke atas kemasukan kenderaan dari kedua-dua arah.

Sementara itu, Penguasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) pada 8 pagi memaklumkan bahawa perkhidmatan bas 160, 170, 170X dan 950 ke Johor Bahru telah dihentikan.

Kata penasihat LTA, penggantungan tersebut adalah disebabkan protes yang diadakan terhadap kenaikan kadar tol oleh pengusaha bas Malaysia yang menghalang aliran trafik bas melalui Tambak Johor.

Namun begitu, pada jam 9:40 pagi, LTA melaporkan bahawa bas 160, 170, 170X telah memulakan separuh perjalanan manakala bas 950 telah mula beroperasi sepenuhnya.




Agensi media di Singapura, MediaCorp Hotline dilaporkan telah menerima sekurang-kurangnya lima panggilan mengenai perkara tersebut pagi ini.

Salah seorang pemanggil memberitahu bahawa banyak bas bernombor pendaftaran Malaysia yang membawa pekerja kilang enggan meneruskan perjalanan ke Singapura di Woodlands.

Pekerja kilang terpaksa turun di Kompleks CIQ Malaysia dan berjalan kaki memasuki Singapura untuk menaiki bas ke tempat kerja mereka.

Satu lagi pemanggil berkata kesesakan di Kompleks CIQ telah menjejaskan perjalanan pelajar-pelajar ke sekolah mereka di Singapura.

Katanya lagi,  kebanyakan mereka tiba lewat ke sekolah pagi ini.

Singapura telah mengumumkan kenaikan caj VEP daripada S$20 (RM51.40) kepada S$35 (RM90) sehari.

Manakala kadar tol baharu arah masuk Malaysia bagi kenderaan Kelas 1 hingga Kelas 5 masing-masing ialah RM9.70, RM14.70, RM19.70, RM4.80 dan RM7.80 manakala kadar tol arah keluar pula adalah RM6.80; RM10.20, RM13.60, RM3.40 dan RM5.50.

Situasi protes yang dikatakan bermula seawal jam 5 pagi itu dikatakan beransur pulih selepas jam 8 pagi. - ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment