MH17: Keluarga reda walau bagaimanapun keadaan mayat
KUCHING: Keluarga Tambi Jiee tetap redha walau bagaimanapun rupa bentuk keadaan mayat Allahyarham dan anggota keluarganya yang bakal mereka terima kelak.
"Kami berdoa agar walau sekecil dan sebesar mana pun (mayat), dapat dijumpai. Kalau dapat semua Alhamdulillah," kata Drahman, abang sulung kepada Tambi, antara mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine pada 17 Julai.
Turut terkorban ialah isteri Tambi, Ariza Ghazalee, 46, dan empat orang anak mereka Muhammad Afif, 19, Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhammad Afruz, 13,
"Saya telah mendapatkan maklumat dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang menurut mereka, kalau mayat dijumpai walau sekecil mana pun, perlu dimandikan. Kalau tidak boleh dimandi, ditayammum dan dikapan," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Jalinan Kasih Aidilfitri anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini hari ini.
Majlis sambutan turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan isteri Puan Sri Jamilah Anu.
Turut hadir Menteri KPWKM, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Majlis bertujuan mengukuhkan jalinan kasih antara warga kementerian, jabatan dan agensi dengan kumpulan sasar terutamanya golongan remaja yang bermasalah dari segi sosial dan akhlak.
Pada majlis itu, Adenan dan isteri turut meluangkan masa bertanya khabar dengan waris keluarga Ariza dan Tambi.
Drahman turut mengucapkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang turut memberi perhatian dan sokongan kepada mereka sekeluarga berikutan nahas itu.
Dalam sidang media selepas majlis berkenaan, Rohani memaklumkan, waris pasangan suami isteri Tambi Jiee dan Ariza Ghazalee, serta empat anak mereka yang terkorban dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 mahu mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, dekat sini.
Katanya, perkara tersebut disampaikan kepada beliau, selepas menemui waris keluarga pasangan tersebut.
"Waris keluarga pasangan itu juga ada membuat beberapa permohonan lain seperti meminta keranda jenazah tidak di 'seal', serta waris dibawa ke Amsterdam, Belanda untuk membantu proses pengecaman.
"Dan paling utama waris keluarga meminta jika sudah ditemui walau sedikit pun mayat bersesuaian dengan sampel DNA keluarga pasangan itu, mereka memohon supaya segera dimaklumkan," katanya.
Sementara itu, Rohani berkata, sebuah lagi keluarga mangsa nahas MH17, Meling Mula, 48, belum memutuskan dimana mayat mendiang akan dikebumikan.
Meling seorang pemasang perancah sebuah syarikat minyak dan gas yang berpangkalan di Kuala Lumpur, bertugas di Venezuela. - Bernama
No comments:
Post a Comment