Tuesday 15 July 2014

Nyaris ditikam penjenayah

Arif Faizan menunjukkan jarinya yang cedera akibat bergelut dengan penjenayah yang memecah masuk
rumahnya, malam kelmarin.
Arif Faizan menunjukkan jarinya yang cedera akibat bergelut dengan penjenayah yang memecah masuk rumahnya, malam kelmarin.

MUAR – Seorang lelaki menerima empat jahitan di jari telunjuk dan enam jahitan di jari manis selepas berdepan detik cemas bergelut dengan penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Kampung Bukit Treh, di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu berlaku apabila Arif Faizan Ismail, 30, cuba mempertahankan diri daripada ditikam suspek yang menggunakan pisau.

Menurutnya, dia menyedari kehadiran suspek yang sudah berada di ruang tamu kediamannya semasa memasuki dalam rumah sebaik sahaja pulang keluar makan di kawasan berhampiran.

“Saya terkejut lihat seorang lelaki tersengih-sengih sambil mengacu pisau cuba menikam, tetapi saya sempat mengelak.

“Tangan kiri saya pegang pisau di tangan suspek, manakala tangan kanan cuba menghalang bahunya dan saya menendang kakinya,” katanya, di sini semalam.

Arif yang tinggal bersendirian di rumah itu memberitahu dalam pergelutan itu dia terpelanting ke luar rumah sebelum penjenayah terbabit melarikan diri.

Katanya, ketika itu dia menjerit untuk mendapatkan pertolongan, malangnya kebanyakan jiran tiada di rumah kerana solat Terawih.

"Saya segera menghubungi balai polis memaklumkan kejadian itu tetapi diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

“Saya pergi ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis di IPD Muar," katanya.

Dia berkata, suspek berusia lingkungan 50-an itu tinggal di kawasan berhampiran berjaya ditahan.

" Sebilah pisau yang suspek untuk mencederakan saya juga turut ditemui” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, namun enggan mengulas lanjut. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment