Saturday, 12 July 2014

Pengurus ladang putus tangan kanan

Mangsa terbaring di tepi jalan dalam keadaan tangan kanannya terputus.
Mangsa terbaring di tepi jalan dalam keadaan tangan kanannya terputus.


GUA MUSANG - Seorang pengurus ladang putus tangan kanan setelah tercampak keluar dari kenderaan pacuan empat roda dipandunya selepas terbabas dalam kejadian kemalangan di Kilometer 41.9 Jalan Aring-Kuala Berang, di Felda Aring, jam 7.30 pagi, kelmarin.

Ketua Polis daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, mangsa, Hairul Naim Ab Muhid, 31, kini menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Menurutnya, mangsa yang bekerja dengan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Sawit dalam perjalanan ke ladang di Aring.

“Ketika dalam perjalanan, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbalik beberapa kali menyebabkannya tercampak keluar.

“Tangan mangsa yang bergesel dengan dawai penghadang jalan terputus paras bahu dan ia turut dijumpai ada dekat situ,” katanya.

Saiful Bahri berkata, mangsa yang terbaring dalam keadaan separuh sedar ditemui orang ramai yang kebetulan melalui kawasan itu sebelum dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan.

“Kita masih menunggu laporan rasmi daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment