Saturday 12 July 2014

Delhi bandar kedua paling padat di dunia selepas Tokyo

India mampu mempunyai penambahan paling tinggi dalam bilangan populasi urbannya pada 2050, mengatasi China. -AFP PHOTO/ Chandan KHANNA


KUALA LUMPUR: New Delhi menjadi Bandar kedua paling padat pada 2014 selepas Tokyo, mencatat populasi lebih dua kali ganda sejak 1990 kepada 25 juta, menurut laporan Press Trust of India (PTI) yang memetik laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Semakan kajian Prospek Urbanisasi Dunia 2014 yang dilancarkan pada Khamis itu menunjukkan India mampu mempunyai penambahan paling tinggi dalam bilangan populasi urbannya pada 2050, mengatasi China.

Ibu negara India itu dijangka kekal memiliki kepadatan penduduk kedua tertinggi di dunia sehingga selewat-lewatnya 2030, apabila populasinya dianggarkan mencecah 36 juta.

Tokyo berada di ranking pertama dalam laporan kepadatan penduduk oleh PBB itu dengan 38 juta penduduk namun ia dijangka menurun, dan hanya akan kekal dengan gelaran itu sehingga 2030 dengan 37 juta penduduk.

Mumbai yang berada di kedudukan keenam pula dijangka akan menjadi negara keempat terpadat pada 2030 apabila jumlah populasinya mencecah 28 juta berbanding 21 juta sekarang.

Kedudukan Tokyo dan New Delhi pula diikuti Shanghai dengan 23 juta, serta Bandar Mexico, Mumbai dan Sao Paulo masing-masing dengan 21 juta penduduk pada 2014.

Laporan itu turut menyebut bahawa pertumbuhan bandar terbesar akan berlaku di India, China dan Nigeria antara 2014 dan 2015, dengan ketiga-tiga negara tersebut mempunyai 37 peratus anggaran penambahan penduduk bandar.

Menjelang 2050, India dianggarkan bakal mempunyai 404 juta penduduk bandar, jauh lebih daripada China yang mempunyai anggaran 292 juta sahaja.

Nigeria akan menambah 212 juta populasi bandar.

Kepadatan bandar di India buat masa ini ialah 410 juta orang dan ia akan bertambah menjadi 814 juta orang menjelang 2050.

China pula kini memiliki kepadatan bandar tertinggi dengan 758 juta.

India dan China menyumbang 30 peratus daripada jumlah penduduk bandar di dunia.

Dua gergasi Asia itu bersama Amerika Syarikat, Brazil, Indonesia, Jepun dan Rusia kini mempunyai jumlah gabungan penduduk meliputi separuh populasi dunia.

Lebih kurang 54 peratus populasi dunia kini tinggal di kawasan bandar dan jumlah ini dijangka akan meingkat sebanyak 66 peratus menjelang 2050, dengan penambahan maksima akan berlaku di kawasan bandar di Afrika dan Asia.

Populasi penduduk bandar kini menurut laporan PBB mencecah 3.9 billion, dan dijangka melonjak naik kepada 6.3 billion pada 2050.

Populasi luar bandar pula semakin bertambah secara perlahan sejak 1950 dan dijangka mencapai kemuncak dalam beberapa tahun.

Kira-kira 3.4 bilion orang kini tinggal di kawasan luar bandar di seluruh dunia.

Bernama

No comments:

Post a Comment