Tuesday 1 July 2014

Bekas hakim Mahkamah Perlembagaan Indonesia dihukum penjara seumur hidup

Mahkamah mensabitkan enam tuduhan menerima rasuah melibatkan pilihan raya kerajaan tempatan di beberapa daerah di republik itu - Foto Akil Mochtar (tengah) AFP PHOTO / ROBERT


Bekas hakim Mahkamah Perlembagaan Indonesia, Akil Mochtar dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas sabit enam tuduhan menerima rasuah melibatkan pilihan raya kerajaan tempatan di beberapa daerah di republik itu.

Hukuman itu dibacakan oleh Ketua Majlis Hakim, Suwidya pada sidang yang berlangsung hampir lapan jam berlarutan sehingga ke malam semalam, lapor The Jakarta Post.

Akil dituduh menerima suapan berjumlah hampir RM15 juta berhubung beberapa kes yang difailkan di mahkamah berkaitan dengan pilihan raya ketua daerah di beberapa daerah. Mahkamah Perlembagaan adalah mahkamah tertinggi yang mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes-kes berkenaan.

Akil ditahan di rumahnya oleh Suruhanjaya Pencegahanan Rasuah Indonesia (KPK) pada Oktober tahun lalu. Suruhanjaya itu kemudian dilaporkan mengakui telah membuat intipan talian telefon di kediaman Akil untuk mengesahkan dakwaan dia menerima rasuah untuk membuat beberapa keputusan mahkamah yang memihak kepada pemberi suapan.

Seorang peguam dan seorang ahli perniagaan turut disiasat berhubung tuduhan tersebut. Ahli perniagaan itu dilaporkan ditangkap ketika cuba memberi rasuah kepada Akil berhubung kes melibatkan ahli keluarganya yang bertanding sebagai kerusi gabenor di sebuah daerah.

The Jakarta Globe dalam reaksinya menyifatkan hukuman itu sebagai satu pembelaan kepada sistem demokrasi Indonesia yang diancam oleh hakim dan mahkamah yang korup.

"Seorang hakim dengan kedudukan tinggi seperti Akil sepatutnya memberikan contoh kebijaksanaan dan pematuhan undang-undang yang terbaik. Sebaliknya, dia meranapkan keyakinan rakyat kepada undang-undang dan demokrasi. Hukuman penjara seumur hidup adalah cocok untuk jenayah seperti itu," kata akhbar itu dalam lidah pengarangnya pada Selasa.

Akhbar The Jakarta Post pula menyifatkan hukuman itu sebagai sesuatu yang bersejarah dalam sejarah mahkamah rasuah di Indonesia. Hukuman penjara seumur hidup adalah hukuman paling berat yang diperuntukkan bagi kesalahan rasuah. Ini adalah kali pertama hukuman itu dijatuhkan sejak mahkamah berkenaan beroperasi pada 2003.

Akil dalam reaksinya selepas hukuman itu mengumumkan dia akan memfailkan rayuan. Dia sebelum itu dilaporkan berkata "sampai ke syurga pun saya akan rayu."

Sementara itu, Timbalan Pengerusi KPK, Bambang Widjojanto berkata keputusan mahkamah tersebut memberikan asas yang kukuh untuk badan itu untuk meneruskan pendakwaan ke atas beberapa orang tengah yang terlibat menyampaikan rasuah kepada bekas hakim itu.

Beberapa tukang suap itu sudah dijatuhkan hukuman penjara antara 3 hingga 5 tahun sebelum ini sementara beberapa suspek lain masih dalam siasatan. -- Agensi


No comments:

Post a Comment