Tuesday 1 July 2014

Dua gol dalam masa 13 minit, Perancis hantar Nigeria pulang

Karim Benzema (tengah) cuba melepasi pertahanan Nigeria - EPA/ROBERT GHEMENT

Jaringan daripada Paul Pogba dan gol sendiri oleh Joseph Yobo berjaya membawa Perancis ke pusingan suku akhir bola sepak Piala Dunia 2014 pada perlawanan awal pagi tadi apabila skuad Les Bleus itu menumpaskan juara Afrika, Nigeria 2-0 di Stadium Nasional Mane Garrincha.

Perancis yang tidak pernah dikalahkan dalam masa 90 minit masa penuh perlawanan di pusingan kalah mati Piala Dunia sejak 1986, kini bakal menempah pertemuan menentang Jerman pada Jumaat nanti di Rio de Janeiro.

Nigeria di awal perlawanan pada minit ke-19 seakan-akan telah berjaya mendahului apabila Emmanuel Emenike menyepak masuk bola ke gawang Perancis hasil hantaran Ahmed Musa, namun penjaga garisan menafikan gol tersebut dengan keputusan ‘offside’.

EPA/DENNIS SABANGAN

Pogba memecahkan kebuntuan gol Perancis dalam babak kedua perlawanan di minit ke-79 apabila menanduk masuk bola ke gawang yang ditinggalkan terbuka luas oleh penjaga gol Nigeria, Vincent Enyeama.

Asakan demi asakan Perancis akhirnya membuahkan hasil apabila kapten skuad Nigeria, Yobo tertampan masuk bola hasil sepakan penjuru Karim Benzema yang dihantar kepada Mathieu Valbuena seterusnya kepada Antoine Griezmann ke hadapan gol Nigeria.

Perancis dilihat bermain lebih garang pada lewat babak kedua aksi perlawanan apabila berjaya menghasilkan dua gol dalam jarak kurang 13 minit untuk mengesahkan tiket kemaraan mereka ke pusingan lapan terakhir.

EPA/PETER POWELL

Pemain pertahanan Nigeria bagaimanapun layak dipuji apabila kemas menahan asakan bertali arus Perancis pada separuh masa kedua sehingga tamat perlawanan masa penuh.

Bintang harapan Perancis, Karim Benzema pula gagal menyerlah walaupun beberapa kali melakukan cubaan tepat ke gol yang tidak membuahkan hasil sekaligus membuatkan rakan sepasukannya Pogba dipilih menjadi ‘man of the match’.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment