Monday 30 June 2014

McDonald's Malaysia akan siasat kes penghantaran palsu

McDonald's Malaysia sudah mengenal pasti lelaki yang membuat penghantaran palsu


KUALA LUMPUR: Pihak McDonald’s Malaysia sedang melakukan siasatan susulan kes penghantaran palsu dan rompakan ke atas seorang Orang Kurang Upaya (OKU) yang merupakan Presiden Muscleteer Malaysia Fadzli Fadhilah, baru-baru ini.

“Kami telah mengenal pasti penghantar berkenaan dan telah mengarahkan rakan perniagaan yang bertanggungjawab atas khidmat penghantaran McDelivery untuk menggantung beliau daripada tugasannya sementara menunggu siasatan kami.

“Tindakan sewajarnya akan diambil setelah siasatan dalaman kami selesai. Kami menyedari satu laporan polis telah dibuat oleh En. Fadzli dan hasrat kami adalah untuk memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa dalam siasatan mereka,” kata jurucakap McDonald’s Malaysia Melati Abdul Hai kepada Astro AWANI menerusi emel.

Beliau turut berkata McDonald’s Malaysia tidak akan membiarkan apa-apa tingkah laku yang menyalahi undang-undang untuk berlaku.

“Kami telah berhubung dengan Fadzli mengenai kejadian ini dan akan terus berkomunikasi dengan beliau dari semasa ke semasa,” tambah Melati.

Pada 17 Jun lalu, seorang lelaki penghantar makanan segera telah membuat penghantaran palsu sebelum Fadzli dirompak sebanyak RM100 di rumahnya.

Beliau memberitahu bahawa lelaki berkenaan merupakan orang yang sama yang menghantar makanan ketika membuat pesanan pada 3 Jun.

“Dia tidak melarikan diri. Dia cuma berjalan ke lif sebab dia tahu saya tidak boleh kejarnya," ujar Fadzli ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah beliau, undang-undang dan akta baru perlu diperkenalkan untuk melindungi OKU kerana golongan OKU tidak berdaya melindungi diri sendiri dan mempunyai banyak batasan.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment