Wednesday 25 June 2014

Kerajaan kaji kaedah terbaik beri BR1M - Ahmad Maslan

Kerajaan kaji kaedah terbaik beri BR1M

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik untuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan yang berhak menerimanya.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata ini termasuk cadangan pemberian BR1M secara kupon makanan.

Beliau berkata selain itu, kerajaan turut sedang membuat penambahbaikan ke atas pelaksanaan pemberian BR1M agar agihan bantuan dapat disalurkan kepada penerima yang benar-benar layak sahaja dengan lebih efisien ke arah peralihan subsidi bersasar.

“Sebarang penambahbaikan penggagihan BR1M akan diumumkan semasa pembentangan Bajet 2015,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Ahmad Maslan berkata jumlah kelulusan bagi BR1M 2014 adalah seramai 6.8 juta penerima dengan peruntukkan sebanyak RM3.6 bilion.

Penerima yang berjaya merangkumi 4.5 juta penerima isi rumah dan 2.3 juta penerima bujang.

“Jumlah ini dijangka meningkat memandangkan permohonan rayuan baru sahaja ditutup pada 31 Mei 2014 dan masih terdapat permohonan yang sedang di proses oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Dari segi penunaian pula, sehingga 31 Mei, sebanyak 6.4 juta penerima atau 94 peratus telah menunaikan BR1M,” katanya.

Beliau berkata Selangor merupakan negeri penerima tertinggi BR1M dengan peruntukan sebanyak RM470 juta yang melibatkan seramai 925,000 orang atau 13.8 peratus daripada jumlah penerima di seluruh negara.

Sementara itu, beliau berkata Johor merupakan negeri penerima BR1M kedua tertinggi dan Sarawak adalah negeri penerima BR1M yang ketiga tertinggi.

“Johor menerima peruntukan sebanyak RM413 juta manakala Sarawak menerima peruntukan sebanyak RM350 juta.”

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment