Wednesday 25 June 2014

Hisham tebus maruah, legasi yang akan dikenang selamanya

Karisma Hisham di pentas dunia sewaktu mengemudi krisis MH370 dipandang tinggi


KUALA LUMPUR: Perubahan kabinet terbaru Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan berakhirnya peranan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku Pemangku Menteri Pengangkutan.

Walaupun sekadar memangku, popularitinya melonjak ke tahap tertinggi setelah berjaya menguruskan tragedi MH370 dengan baik dan kesempatan itu telah dipergunakan dengan cemerlang.

Pemerhati melihat, kemampuan beliau menangani insiden yang dianggap misteri dalam sejarah penerbangan antarabangsa itu telah berupaya mengembalikan kepercayaan awam terhadap keupayaan kepimpinan Hishammuddin yang sebelum ini dikritik dalam menangani isu pencerobohan penganas Sulu pada 2013.

Bagi Dr. Jeneri Amir, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak, krisis MH370 berupaya menjadikan Hishammuddin sebagai pemimpin lebih matang, sekaligus memperbetulkan tanggapan ramai terhadap kelemahannya dalam menguruskan insiden pencerobohan di Lahad Datu.

“Berdasarkan tindakan, kenyataan dan bagaimana perwatakan beliau, beliau boleh diberi markah cemerlang, ” jelas Jeneri.

“Ia (MH370) menjadi penanda aras tertinggi dalam menangani krisis.” 

Begitupun, Dr Jeneri menyatakan krisis MH370 lain sifatnya berbanding krisis pencerobohan Lahad Datu, kerana krisis MH370 melibatkan kemampuan komunikasi dan berdepan media global.

Walaupun sebelum krisis MH370, Hishammuddin sudah pun memperoleh beberapa kriteria yang membolehkan beliau diangkat ke jawatan utama dalam kerajaan.

Pada pemilihan UMNO 2013, Hishammuddin berjaya mengekalkan jawatan Naib Presiden walaupun hanya mendapat undian ketiga antara calon-calon lain.

Beliau juga mempunyai kredibiliti yang cukup kukuh, terutamanya dari pengundi berbangsa Melayu.

Pada lapisan lain pula, kedudukan Hishammuddin sebagai cucu pengasas UMNO Datuk Onn Jaafar dan anak kepada Perdana Menteri ketiga Tun Hussein Onn, meletakkan beliau di tempat yang lebih istimewa terutama daripada kalangan ahli parti.

Begitupun, Hishammudin pernah menyaksikan tempoh-tempoh sukarnya semasa berada di dalam kabinet.

Selain didakwa lemah menangani krisis pencerobohan Lahad Datu, beliau juga menerima kritikan orang bukan Melayu apabila menjulang keris semasa persidangan UMNO pada 2005.

Begitupun, Hishammuddin dilihat kembali menyerlah setelah berupaya menguruskan tragedi MH370 yang disaksikan seluruh dunia, lantas menjadikan beliau salah seorang calon yang layak mengisi jawatan perdana menteri, terutamanya oleh pemerhati luar.

Pernah bersekolah di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Hishammuddin seterusnya menyambung pengajiannya dalam bidang undang-undang Di University Of Wales, dan kemudiannya ke London School Of Economics pada 1988.

Selepas menamatkan pengajian, beliau menyertai firma Skrine & Co dan seterusnya menjadi rakan kongsi di firma Lee Hishammuddin.

Hishammuddin menjadi ahli kabinet sejak 15 tahun lalu.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment