Wednesday 25 June 2014

Hidup mewah bawa padah

Pasangan ini membeli rumah agam bernilai RM2.7 juta.
Pasangan ini membeli rumah agam bernilai RM2.7 juta.

GARA - gara terlalu taksub mengumpul koleksi barangan sains fiksyen, sepasang suami isteri di Britain menerima padah selepas mereka dihukum penjara kerana mencuri 2.3 juta pound (RM13 juta) dari sebuah syarikat.

Julie Nikerson, 55, dari West Yorkshire dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas disabit kesalahan kerana melakukan pengubahan wang haram dan penipuan ketika bekerja di jabatan kewangan di sebuah syarikat dobi sejak 2005.

Wanita tersebut didakwa menggunakan wang tersebut untuk membeli sebuah rumah agam bernilai 500,000 pound (RM2.7 juta), perbelanjaan bercuti berjumlah 200,000 pound (RM1.1 juta) termasuk membeli kostum Star Trek berharga 16,000 pound (RM88,000).

Pasangan tertuduh, Anthony, 48, pula dihukum penjara 30 bulan kerana bersubahat dengan isterinya.

Dia mengaku ada memindahkan 925,000 pound (RM5 juta) ke dalam akaun perniagaannya antara Julai 2009 dan Disember 2012.

Anthony mendakwa dia menjadi gelap mata dengan tindakan isterinya walaupun menyedari ia adalah perbuatan pecah amanah.

"Pasangan tersebut mahu hidup mewah walaupun ia sebenarnya di luar kemampuan mereka," kata jurucakap polis.

Susulan daripada itu, mahkamah mengarahkan kesemua 1,000 koleksi barangan sains fiksyen milik mereka termasuk helmet Darth Vader yang dirampas pihak berkuasa supaya dilelong.

Dalam satu kenyataan, pengurus di pusat lelongan Wilsons di Northern Ireland, Aidan Larkin memaklumkan, koleksi tersebut sukar diperoleh di pasaran.

“Ia jarang ditemui dan hanya boleh didapati dalam sesi lelongan khas,” katanya menurut laporan Daily Mail.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment