Wednesday 25 June 2014

Gaji ibu Firdaus RM1,500

Laporan muka depan Sinar Harian, semalam.
Laporan muka depan Sinar Harian, semalam.

TIDAK tahu di mana silapnya, namun penemuan remaja OKU, Muhammad Firdaus Dullah, 15, dalam keadaan kurus kering di sebuah rumah pangsa di Taman Semarak, Nilai Sabtu lalu membuatkan banyak hati tersentuh.

Malah ada menyalahkan pihak tertentu kerana didakwa tidak peka dan prihatin dengan nasib golongan OKU sehingga dibiar hidup dalam derita.

Menurut sumber, ibu Firdaus, Lolanopita, 40, berasal dari Kota Kinabalu, Sabah dan berkahwin dengan seorang lelaki berketurunan Bajau dari negeri sama iaitu Dullah Sibil, 53, pada tahun 1995.

Merantau jauh ke Semenanjung dan meneruskan kehidupan sebagai suami isteri serta dikurniakan seorang cahaya mata istimewa iaitu Firdaus, tetapi jodoh mereka tidak panjang.

Selepas berpisah sejak 14 tahun lalu, difahamkan Dullah meninggal dunia pada 22 Januari 2012.

Berdasarkan sumber, Lolanopita kemudian berkahwin dengan lelaki yang kini berusia 46, di Thailand pada 2006 tetapi kes pendaftaran perkahwinan di Malaysia belum selesai. Difahamkan Lola isteri kedua.

Mereka sudah dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia tujuh tahun.

Meneruskan kelangsungan hidup, Lola bekerja di Brahim’s Airline Catering sebagai pekerja penyajian sejak 10 tahun lalu dengan anggaran pendapatan RM1,500 hingga RM2,000 termasuk elaun.

Ia dianggap cukup untuk menyara dua anaknya.

Namun berdasarkan kenyataan Lola sebelum ini, dia seolah-olah tertekan dengan kesempitan hidup dan kecewa apabila ramai menuduhnya tidak tahu jaga anak.

Dia juga dakwa tidak pernah mendaftar anaknya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak tahu caranya dan terpaksa meninggalkannya kerana bekerja.

Mujur remaja ini ditemui Jabatan Imigresen yang melakukan operasi memburu pendatang asing tanpa izin, jika tidak, mungkin Firdaus masih terkurung di situ.

Majikan terkejut

Sementara itu, Syarikat Brahim Airline Catering Sdn Bhd yang juga majikan Lola, tidak mempunyai maklumat mengenai ibu mangsa yang mempunyai seorang anak OKU.

Pengurus Kanan Modal Insan, Ahmad Reza Kamaruddin mengesahkan ibu mangsa tidak membuat pengisytiharan kepada Jabatan Sumber Manusia syarikat berhubung perkara itu.

“Memang ibu mangsa pekerja syarikat kami. Namun syarikat tidak mempunyai maklumat sehinggalah keluar di media.

“Selepas kes meledak di media, pemeriksaan rekod di Jabatan Sumber Manusia mendapati wanita berkenaan tidak membuat pengisytiharan mengenai anaknya berstatus OKU walaupun ada mendaftar nama Firdaus dalam rekod syarikat,”katanya.

Katanya, jika syarikat tahu seseorang pekerja mereka ada kesukaran hidup atau masalah berhubung anak-anak, pihaknya akan membantu kerana syarikat sememangnya mempunyai unit khas menjaga kebajikan pekerja sedemikian.

“Ini adalah polisi syarikat kami. Jika kami tahu wanita itu kesusahan seperti yang didakwa, syarikat akan beri bantuan kepada mereka anak beranak,” katanya. 

Beliau mengesahkan Lolanopita Sadi bekerja sebagai pekerja penyajian di bahagian pastri di syarikat katering yang beroperasi di Sepang. Dia bekerja selama 10 tahun.

Namun pihak syarikat tidak pernah menerima apa apa maklumat tentang kesempitan hidupnya kerana tidak pernah diceritakan kepada Ketua Jabatannya, kesatuan yang dianggotainya mahupun Jabatan Sumber Manusia.

“Kami terperanjat apabila berita ini gempar di dalam media.

“Dia bekerja di bahagian pengeluaran. Kami adalah syarikat pengeluar makanan. Kami boleh mempertimbangkan untuk memberi segala bantuan yang perlu bagi memastikan pekerja yang menghadapi masalah sedemikian dibantu. Bahkan semua pekerja disediakan makanan percuma setiap hari,” tegasnya.

- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment