Sunday, 6 April 2014

Trak terjunam ke dalam gaung akibatkan 16 maut, 49 cedera

Gambar arkib salah satu kemalangan maut yang berlaku di Pakistan. Pakistan mempunyai rekod kemalangan maut antara yang terburuk di dunia. --AFP PHOTO/Sajjad QAYYUM


ISLAMABAD: 16 sekurang-kurangnya maut manakala 49 lagi cedera apabila sebuah trak yang membawa muatan berlebihan terbalik dan terjunam ke dalam sebuah gaung di wilayah tengah Pakistan, Punjab pada Sabtu.

Kemalangan tersebut berlaku berhampiran bandar Kalar Kahar, kira-kira 155 kilometer selatan dari pusat bandar Islamabad.

“Insiden tersebut berlaku di kampung Mattan apabila trak yang membawa 65 penumpang itu terjatuh ke dalam gaung ekoran membawa muatan berlebihan,” ujar Imran Akhtar, seorang pegawai rasmi bilik kawalan penyelamat.

“16 orang telah meninggal dunia manakala 49 lagi cedera termasuk wanita dan kanak-kanak,” tambahnya kepada AFP.

Menurut Imran, mereka yang cedera di bawa ke pusat kesihatan kerajaan berdekatan dan turut memberitahu bahawa klinik tersebut tidak memiliki kelengkapan yang mencukupi untuk merawat puluhan yang cedera.

“Pusat kesihatan terbabit tidak memiliki kemudahan yang lengkap dan saya khuatir jumlah kematian akan bertambah,” katanya.

Seorang polis tempatan mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu beberapa individu yang cedera akan dihantar ke hospital-hospital di daerah Chakwal di pinggir Kalar Kahar.

“Insiden ini berlaku kerana lebihan muatan,” ujar Ashiq Hussain dari balai polis Lila.

Pakistan mempunyai rekod kemalangan maut antara yang terburuk di dunia ekoran sistem jalan rayanya yang tidak terurus, kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik dan cara pemanduan yang membahayakan.

Sumber: Agensi 

No comments:

Post a Comment