Sunday 6 April 2014

Chong Wei jumpa Chen Long di akhir Terbuka India hari ini



NEW DELHI:  Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei kini hanya tinggal selangkah sahaja lagi dalam meraih gelaran ketiga Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka India 2014 apabila layak ke final hari ini.

Pemain nombor satu dunia itu bagaimanapun terpaksa berhempas pulas sebelum mara dengan menewaskan pemain China, Du Pengyu, 21-17, 19-21, 21-14 dalam tempoh 72 minit di perlawanan separuh akhir di sini hari ini.

Kemenangan Chong Wei itu sekaligus menyaksikan ulangan final All-England apabila dia dijadual menentang pemain China, Chen Long.

Dalam satu laporan Bernama, Chong Wei yang kini dalam misi memburu gelaran ketiga tahun ini selepas Terbuka Malaysia dan All-England mengakui beliau melakukan beberapa kesilapan mudah sekaligus menghadiahkan mata mudah kepada Pengyu untuk memenangi set kedua.

Chen Long, selaku pemain pilihan kedua, mengesahkan slot ke final selepas menundukkan pemain Denmark, Jan O Jorgensen 21-15, 21-23, 21-19 dalam pertarungan sengit selama 79 minit.

Bulan lepas, Chong Wei merangkul kejuaraan All-Englang buat kali ketiga selepas menundukkan Chen Long 21-13, 21-18 pada final.

Chong Wei merupakan wakil tunggal negara yang mara ke pusingan akhir kejohanan tersebut.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment