Sunday 6 April 2014

MH370: Carian dipertingkat jejaki isyarat

MH370

PERTH - Usaha mencari pesawat MH370 yang dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi dipertingkat pada Ahad, hari ke-30 operasi, bagi menjejaki isyarat yang dikesan oleh sebuah kapal China semalam.

Menurut kenyataan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), sebanyak 10 pesawat tentera, dua pesawat awam dan 13 kapal dikerah dalam misi pencarian MH370 hari ini.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) membahagikan pencarian kepada tiga kawasan dengan keluasan keseluruhan 216,000 kilometer persegi, di kedudukan 2,000 km barat laut Perth.

"Cuaca dijangka baik dengan ketinggian awan pada 2,500 kaki manakala jarak penglihatan melebihi 10 km," kata kenyataan itu.

Semalam, kapal Haixun 01 mengesan isyarat dengan frekuensi 37.5 kHz yang mungkin datang daripada kotak hitam pesawat tersebut. 

Dalam pada itu, JACC mengulangi bahawa isyarat yang dikesan oleh kapal China tersebut masih belum dapat disahkan.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia akan terus memperhalusi analisis data, kata JACC dalam kenyataan berkenaan.

Sementara itu media Australia, ABC24 memetik Menteri Pertahanan David Johnston sebagai menggesa pihak yang terbabit dalam pencarian agar lebih berhati-hati susulan timbul banyak petunjuk palsu.

Penerbangan MH370 yang dikendalikan pesawat Boeing 777-200ER membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac lepas dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika di ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan sebelum diperluas ke bahagian barat Semenanjung Malaysia termasuk ke Laut Andaman dan Lautan Hindi selepas ada penemuan menunjukkan MH370 mengubah haluan jauh daripada laluan asal.

Pada 24 Mac, hari ke-17 operasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom. - Bernama

No comments:

Post a Comment