Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
KUALA LUMPUR - Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kemarahan rakyat China kepada Malaysia berhubung insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 bukannya disebabkan berita dan spekulasi negatif di media-media sosial.
Beliau berkata perkara utama yang mendorong kepada emosi dan kemarahan masyarakat negara Tembok Besar itu ialah kerana mereka terikat dengan dasar satu anak.
"Kita kena faham, penduduk China terikat dengan one child policy lebih 30 tahun dan bagi keluarga penumpang warga China di dalam penerbangan itu, mereka tentunya bimbang akan kehilangan keturunan.
"Ini yang membuatkan mereka marah," katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong peringkat kementerian pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Dasar satu anak satu keluarga di China telah dikuatkuasakan sejak 1979, manakala pasangan di luar bandar dibenarkan mempunyai dua anak, sekiranya anak pertama mereka adalah perempuan.
Mohamed Nazri berkata kemarahan itu dikuatkan lagi dengan kepercayaan warga China bahawa mereka yang meninggal perlu diberi 'penghormatan terakhir', di mana jasad mereka perlu disentuh, dan dalam kes MH370 anggota keluarga masih kabur mengenai status atau nasib keluarga mereka dalam pesawat malang itu.
"Kepercayaan masyarakat Cina, kalau ada orang meninggal, mesti bagi final rites, mesti ada badan untuk disentuh. Kalau tak dapat badan, sekurang-kurangnya tahu di mana tempat pesawat itu jatuh.
"Jadi, kalau kedua-dua perkara penting ini tidak ada, mereka tak boleh buat final rites. Ini kepercayaan ribuan tahun...jadi dia frust (kecewa), dan bila frust mereka marah, dan tentunya kemarahan itu dihalakan kepada Malaysia," katanya.
Beliau berkata sebagai sebuah negara berjiwa besar, Malaysia memahami kesedihan dan kesulitan penduduk China, yang mana rakyatnya merupakan penumpang terbesar dalam pesawat itu.
"Kita berjiwa besar, kalau mereka nak marah, kita juga memahaminya. Cuma kita perlu bersabar dengan melihat kesedihan yang mereka alami adalah sepertimana rasa sedih, simpati yang kita alami," katanya.
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sebelum ini mengumumkan akan menangguhkan segala bentuk promosi dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 di China bagi menghormati sensitiviti rakyat negara itu.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri menempelak pihak yang mengaitkan dirinya dengan kelulusan penganjuran konsert Future Music Festival Asia 2014 (FMFA 2014) baru-baru ini, yang terpaksa dihentikan berikutan berlaku kematian pengunjung berikutan pengambilan dadah berlebihan.
Beliau berkata segala urusan dan kelulusan konsert itu tertakluk di bawah bidang kuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).
Konsert selama tiga hari pada pertengahan Mac itu dibatalkan pada hari terakhir pengajuran ekoran enam orang termasuk tiga wanita tempatan berumur 19 hingga 28 tahun meninggal dunia akibat pengambilan dadah selepas mengalami sesak nafas ketika menonton konsert. - Bernama
No comments:
Post a Comment