Sunday 23 March 2014

Walaupun hujan turun, catuan air diteruskan, kata SYABAS


KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mengumumkan pengawalan dan pengurangan pelepasan air di Empangan Sungai Selangor dan Empangan Klang Gates masih diteruskan atas keputusan dan arahan kerajaan negeri Selangor.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS Priscilla Alfred berkata walaupun hujan beberapa hari lepas telah meningkatkan paras air di Sungai Selangor, namun pelan catuan air tetap diteruskan sehingga ke satu tarikh yang akan diputuskan oleh kerajaan negeri Selangor.

"Hujan telah membantu peningkatan pengeluaran air di loji-loji rawatan dari Sungai Selangor ke sebahagian kawasan terlibat dalam Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ketiga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Loji Rawatan Air (LRA) yang terlibat ialah LRA Sg Selangor Fasa 1, LRA Sg Selangor Fasa 2, LRA Sg Selangor Fasa 3, LRA Sg Rasa dan LRA Rantau Panjang.

Sementara itu, LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi masing-masing mula beroperasi semula sejak 17 Mac dan 19 Mac lepas dengan pemantauan paras kandungan ammonia di Sungai Langat.

Pelan Catuan Air Peringkat Ketiga melibatkan beberapa kawasan di Wilayah Gombak, Petaling, Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Shah Alam.

SYABAS meminta orang ramai memberi kerjasama menjimatkan penggunaan air dan tidak merosakkan fasiliti dan infrastruktur bekalan air yang diuruskan olehnya demi kepentingan semua pihak.

BERNAMA 

No comments:

Post a Comment