Sunday 23 March 2014

Operasi AMSA gagal temui 'objek terapung' satelit China


KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) gagal menemui objek terapung di Lautan Hindi dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines MH370, semalam.

Bagaimanapun, AMSA dalam kenyataan mereka pada Ahad memaklumkan bahawa operasi di wilayah Australia itu akan diteruskan lagi hari ini termasuk usaha untuk memastikan sama ada objek tersebut ada kaitan dengan MH370 atau tidak.

"Pesawat P3 Orion oleh Tentera Udara DiRaja New Zealand yang dilengkapi alat pemerhati elektro-optik dilencongkan ke lokasi, tiba selepas pesawat pertama beredar, namum hanya melaporkan melihat ketulan rumpai laut sahaja," maklum AMSA yang turut menyifatkan operasi ini sesuatu yang mencabar.
Semalam, China telah menyalurkan imej satelit ke Australia yang berkemungkinan menunjukkan objek terapung 22.5 meter di selatan Lautan Hindi.

AMSA telah memeta plot kedudukan imej tersebut yang telah jatuh dalam kawasan carian mereka.

Menurut AMSA, pencarian hari ini dibahagikan kepada dua, dalam kawasan yang sama meliputi keluasan 59,000 kilometer persegi, kira-kira 2,500 km dari barat daya Perth.

"Sebanyak lapan pesawat telah dikerah oleh Pusat Koordinasi Menyelamat AMSA bagi melaksanakan operasi hari ini. Pesawat-pesawat awam itu ialah dua Bombardier Global Express, sebuah Gulfstream 5 dan Airbus 319.

"Satu daripada pesawat awam berlepas dari Perth kira-kira 6 pagi, manakala tiga lagi berlepas antara pukul 8 pagi hingga tengah hari," kata kenyataan itu.

Menurut AMSA lagi, pesawat P8 Poseidon milik tentera udara Amerika Syarikat berlepas pada pukul 8 pagi, manakala sebuah P3 Orion milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) berlepas pada 11.45 pagi.

Selain itu, pesawat P3 Orion milik Tentera Udara DiRaja Australia bertolak dari pengkalan Pearce pada 8:45 pagi disusuli oleh kedua P3 Orion kedua kira-kira jam 11 pagi.

P3 Orion milik New Zealand pula akan berlepas ke kawasan pencarian kira-kira jam 1.00 tengah hari.

Kenyataan itu juga menyebut kapal tentera laut Australia HMAS Success turut menjalankan aktiviti pencarian hari ini.

Sebanyak 20 sukarelawan Perkhidmatan Kecemasan Negeri (SES) dari Australia Barat ditugas sebagai peninjau bagi pesawat awam dengan lima orang bagi setiap pesawat, selain seorang Penyelaras Misi Penerbangan Aerorescue.

Tambah AMSA, dua pesawat tentera dari China Ilyushin Il-76 sudah tiba di Pangkalan Pearce RAAF dan AMSA dimaklumkan pesawat terbabit sedia untuk dikerah esok.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment