Saturday 8 March 2014

Tak mahu di penjara kerana sara emak

Tak mahu di penjara kerana sara emak
Mohd Ramli dibawa anggota polis keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman penjara.


GEORGETOWN - Seorang penjaga tempat letak kereta dikenakan hukuman penjara sembilan bulan akibat kesalahan menggunakan dadah.

Tertuduh, Mohd Ramli Aripin yang berpendapatan RM40 sehari itu mengaku bersalah menggunakan dadah pada 5 Januari 2014.

Kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 7.32 petang itu mendapati tertuduh memiliki dadah jenis heroin dan juga morfin.

Atas kesalahan itu dia didapati bersalah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta yang sama dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara bagi pertuduhan kedua, Mohd Ramli juga didapati bersalah apabila memasukkan dadah ke dalam badannya tanpa kebenaran.

Akibatnya dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaaan 2004) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dia yang berusia 22 tahun itu kemudiannya mengaku bersalah dan merayu hukuman diringankan kerana menanggung ibu yang berusia 65 tahun.

“Saya menjaga kereta orang di tempat letak kereta, duit yang saya dapat akan saya beri kepada emak saya yang kini sedang sakit.

“Kalau saya masuk penjara, saya tidak akan bekerja dan juga tiada duit, mungkin emak pun tidak ada duit hendak makan,” katanya.

Timbalan Pendakwaraya kemudiannya meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal kerana sudah pun mempunyai rekod lampau pada tahu.

Majistret Umma Devi Loganathan kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan bagi pertuduhan pertama sementara enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua, dan kedua-duanya dijalankan serentak.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment