Saturday 8 March 2014

Cedera dibelasah perompak

Cedera dibelasah perompak
Seorang daripada mangsa menunjukkan belakang badannya yang cedera dipukul dengan besi oleh penjenayah terbabit.


PARIT BUNTAR - Dua pekerja warga asing cedera dibelasah dua perompak dengan sebatang besi dalam kejadian samun di kebun jambu, di Ampang Jajar, Nibong Tebal, dekat sini, kelmarin.

Menceritakan detik cemas itu, pemilik kebun yang hanya mahu dikenali sebagai Chong, 56, berkata, dalam kejadian jam 11 malam itu, dua pekerjanya itu baru sahaja pulang dari membeli barangan keperluan di kedai runcit berhampiran sebelum diugut serta dipukul dua suspek bersenjatakan sebilah parang dan sebatang besi.

Menurutnya, kedua-dua suspek kemudiannya mengacukan parang pada leher seorang daripada mangsa dan mengarahkan mereka menyerahkan wang tunai dan kesemua barangan berharga yang terdapat di dalam kebun berkenaan.

“Salah seorang mangsa beritahu saya, kedua-dua suspek menggunakan baju untuk menutup muka dan membelasah mereka hingga cedera di bahagian badan dan muka.

“Selepas kedua-dua mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM550 dan sebuah telefon bimbit, barulah kedua-dua perompak itu melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini semalam. Chong berkata, setelah memastikan kedua-dua penjenayah terbabit sudah beredar, pekerjanya itu nekad pergi ke rumahnya di Taman Pekaka, dekat sini dengan menaiki basikal untuk memaklumkan kejadian tersebut.

Menurutnya, dia segera menghubungi Pasukan Keselamatan Sukarelawan Kerian (PSKS) untuk menjejaki kedua-dua perompak itu sejurus dimaklumkan kejadian itu.

“Bagaimanapun, usaha mengesan kedua-dua perompak berkenaan tidak berhasil kerana keadaan gelap selain kenderaan dinaiki suspek tidak dapat dikenal pasti.

“Saya juga segera kembali ke kebun untuk meninjau keadaan di sana dan terkejut apabila mendapati pagar belakang kebun dipotong, dipercayai perbuatan kedua-dua suspek berkenaan,” katanya.

Chong berkata, kedua-dua mangsa membuat laporan di Balai Polis Taman Pekaka dan mereka turut dihantar ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

“Mujur kesan kecederaan tidak serius dan saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku akibat insiden itu,” katanya.

Menurutnya, dia meminta polis meningkatkan pemantauan di lokasi kejadian bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment