Saturday 8 March 2014

'Kami sayang guru kami'

'Kami sayang guru kami'
Sebahagian ibu bapa menggesa KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri menarik semula arahan pertukaran tiga guru terbabit.


PERAK - Kerana sayangkan guru mereka, ibu bapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damak di sini mendesak agar pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan agar menarik kembali pertukaran tiga guru sekolah terbabit.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Zakaria Imam Sani berkata, tiga guru tersebut ialah Mohd Nor Izzat Mohd Johari, Iman Idrus dan Mohd Zulkeflee Seman.

“Kami mempersoalkan pertukaran mereka sedangkan Cikgu Izzat merupakan satu-satunya guru opsyen seni visual sekolah ini, Cikgu Zakaria ialah guru penolong kanan hal ehwal pelajar ditukarkan dengan menyandang jawatan yang sama manakala Cikgu Zulkeflee pula ditukarkan di sekolah yang mempunyai kuota guru mencukupi,” katanya.

Tambahnya, pihak ibu bapa tidak menghalang sekiranya mereka ditukarkan atas sebab munasabah seperti kenaikan pangkat atau memenuhi sekolah yang kekurangan guru.

“Cikgu Izzat contohnya baru sahaja bertugas di sekolah ini pada 2012 dan kini sudah ditukarkan ke sekolah lain. Kami sayangkan ketiga-tiga guru ini kerana mereka telah menyumbang kepada peningkatan pendidikan dan menaikkan sekolah,” katanya.

Naib Pengerusi PIBG, Rosli Baku pula berkata, pihak PIBG juga turut bertanya kepada pelajar tentang pertukaran terbabit dan kesemua mereka melahirkan rasa sedih dan terkilan dengan pertukaran tersebut.

“Kami turut bertanyakan pendapat pelajar dan mereka juga tidak bersetuju dengan pertukaran ini. Mereka harap guru mereka ini tidak ditukarkan kerana mereka terlalu sayangkan guru mereka.

“Tambahan pula ibu bapa juga gemar dan senang berurusan dengan ketiga-tiga guru terbabit kerana mudah memberikan komitmen dan lebih mesra berbanding kebanyakan guru lain,” katanya.

Menurut Rosli, mereka difahamkan pertukaran serta merta guru-guru terbabit disebabkan mereka menyatakan ketidakpuasan hati terhadap sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

“Kami tidak bersetuju sekiranya mereka ditukarkan disebabkan perkara terbabit sedangkan Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menegaskan tiada tindakan akan diambil ke atas guru yang membantah PBS.

“Perkara ini telah disiarkan ke dalam akhbar sebelum ini justeru alasan terbabit tidak boleh diguna pakai. Oleh itu, kami menggesa pihak berwajib agar menarik kembali arahan pertukaran terbabit dengan segera dan membenarkan ketiga-tiga guru ini kembali bertugas di sekolah kami,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment