BACHOK - Seorang remaja yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakan-rakan di pantai Kampung Kandis di sini semalam dijumpai mati lemas di pantai itu hari ini.
Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superitendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata mayat Mohd Lotfi Ibrahim, 14, dijumpai pada 6.20 pagi oleh pasukan mencari berhampiran tempat dia dilaporkan hilang.
"Mayatnya dihantar ke Pusat Kesihatan Bachok sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Rakan mangsa, Mohamad Arifin, 18, dijumpai mati lemas pada 12.15 tengah hari semalam oleh anggota bomba dan penyelamat Bachok yang melancarkan gerakan mencari sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu.
Mereka dikatakan mandi di laut bersama empat lagi rakan yang selamat, apabila kejadian ombak besar berlaku.
Kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Belukar, Pasir Mas datang ke pantai berkenaan untuk berkelah bersama lebih 200 anggota kumpulan Komuniti 1Malaysia kampung itu.
Abdul Hamid berkata gerakan mencari melibatkan lebih 50 anggota polis, jabatan bomba dan penyelamat, agensi penguatkuasaan maritim Malaysia dan jabatan pertahanan awam Malaysia. - Bernama
No comments:
Post a Comment