Sunday, 30 March 2014

Kenapa Anwar tanding lawan Wan Azizah?

Wan Azizah dan Anwar Ibrahim sejurus pengumuman kemenangan Wan Azizah di PRK DUN Kajang pada Ahad - Gambar Fail


KUALA LUMPUR: Keputusan pasangan suami isteri yang menjadi tunggak Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bertanding melawan satu sama lain untuk jawatan presiden parti itu mencetuskan rasa hairan di kalangan pemerhati dan aktivis politik termasuk ahli dan penyokong parti itu sendiri.


Mereka meluahkan kehairanan itu melalui Twitter tidak lama selepas tempoh pencalonan ditutup pada pukul 5 petang Sabtu.

Mesej itu berbaur sindiran antara lain menyifatkan langkah itu sebagai "jenaka" manakala PKR sebagai parti "keluarga dan anak-beranak".




Ada juga yang merasa kurang selesa kerana terpaksa mempertahankan tindakan Anwar dan Wan Azizah itu.





Hal Anwar lawan isterinya untuk jawatan No. 1 dalam PKR itu juga menjadi bahan jenaka di Twitter sekurang-kurangnya oleh sebuah akaun parodi berita.




Anwar menyerahkan borang pencalonannya melalui Timbalan Bendahari Agung parti, Low Chee Chong lebih kurang pukul 11 pagi Sabtu. Pencalonan Anwar dicadang oleh bekas Timbalan Presiden, Dr. Syed Husin Ali dan disokong oleh Chee Chong sendiri.

Wan Azizah yang sebelum ini mengumumkan kesediaan untuk berundur kemudian menjelaskan melalui satu kenyataan tindakan beliau mempertahankan jawatan yang dipegangnya sejak parti itu ditubuhkan pada 1999, ketika itu dengan nama Parti Keadilan Nasional.

"Keputusan ini dibuat demi menjaga kepentingan dan masa depan parti sekiranya dalam masa terdekat ini sebelum pencalonan dimuktamadkan saudara Anwar tidak dapat meneruskan pencalonan beliau," katanya dalam kenyataan itu.

Anwar sedang dalam proses merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang baru-baru ini yang mensabitkan tuduhan liwat dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Mengikut Akta Persatuan 1966, seseorang tidak boleh memegang jawatan dalam sebuah persatuan berdaftar sekiranya sabit apa-apa kesalahan dan didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun.

Bagaimanapun, ada juga yang mempersoalkan apa perlunya Anwar bertanding sekiranya beliau berhadapan dengan kes mahkamah yang mungkin menjejaskan kedudukannya nanti.




Dalam pada itu, Malaysiakini melaporkan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali terpaksa mengetepikan pelan asalnya untuk bertanding jawatan Presiden selepas Anwar mengemukakan pencalonan untuk jawatan itu.

Azmin dilaporkan tidak setuju Wan Azizah untuk terus kekal jadi presiden dan sedia mencabarnya tetapi pada masa sama, sedia akur sekiranya Anwar maju untuk ke jawatan itu.

Azmin mengemukakan pencalonan untuk mempertahankan jawatannya 10 minit sebelum tempoh pencalonan ditutup. Beliau akan dicabar oleh lima calon termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Dua lagi calon yang menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden ialah Datuk K. Ramachandran dan Murali Subramaniam.

Pemilihan parti itu akan berlangsung selama tiga minggu antara 25 April hingga 11 Mei ini.

Sumber: ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment