*WALAUPUN terus berduka nestapa di atas kehilangan pesawat dan orang-orang tercinta, alihkan sejenak perhatian kita kepada satu perkara lain yang patut juga diberi perhatian, iaitu hutang.
Orang kita banyak hutang, demikianlah yang dijelaskan dalam Laporan Tahunan 2013 Bank Negara Malaysia (BNM) minggu lalu.
Menurut laporan tersebut tahap hutang isi rumah negara ini berjumlah RM854.3 bilion yang merupakan 86.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Untuk pengetahuan, hutang isi rumah ialah nilai terkumpul pinjaman yang dilakukan oleh setiap isi rumah domestik.
Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah progresif bagi memastikan pengurusan kewangan yang kukuh dan menggalakkan pasaran hartanah yang stabil dalam usaha mengawal perkembangan hutang isi rumah.
Langkah tersebut bertujuan memastikan pengembangan kredit yang berhemah, menggalakkan tingkah laku individu dan institusi yang bertanggungjawab, pasaran hartanah yang teguh dan membendung tingkah laku spekulatif.
Bagi orang biasa apa yang dilaporkan oleh BNM agak sukar untuk difahami, terutama istilah-istilah seperti KDNK, spekulatif, hartanah dan sebagainya. Tidak perlu mendalami istilah-istilah ekonomi yang pelik itu. Memadailah kita faham bahawa orang kita banyak hutang.
*MENARIK juga untuk diketahui bahawa sebanyak 61.8 peratus atau RM527.6 bilion daripada keseluruhan hutang isi rumah rakyat Malaysia adalah hutang pinjaman pembelian kediaman dan kenderaan.
Laporan Kementerian Kewangan menunjukkan daripada jumlah hutang terkumpul sebanyak RM854.3 bilion sehingga 2013, sebanyak RM377.7 bilion atau 44.2 peratus digunakan untuk membeli rumah manakala sebanyak RM149.9 bilion (17.6 peratus) untuk kenderaan.
Sebanyak RM141.5 bilion (16.6 peratus) lagi adalah hutang pinjaman peribadi dan RM65.2 bilion (7.6 peratus) adalah pinjaman pembelian harta bukan kediaman.
Dijelaskan juga hutang bagi pembelian pelbagai saham atau sekuriti ialah RM54.9 bilion (6.4 peratus), hutang kad kredit RM35.5 bilion (4.2 peratus) dan tujuan lain seperti kelengkapan rumah sebanyak RM29.6 bilion (3.5 peratus).
Pendek kata, kebanyakan kita memang sentiasa berhutang.
*INI kisah benar anak seorang kawan. Sebaik menerima ijazah dari sebuah universiti awam, dia telah menanggung hutang lebih RM30,000. Gajinya sebagai eksekutif muda di sebuah syarikat, dipotong RM130 untuk membayar hutang tersebut kepada PTPTN.
Belum setahun kerja dia berhutang lagi kira-kira RM40,000 untuk membeli sebuah kereta. Ertinya tiap-tiap bulan gajinya akan dipotong sebanyak RM650 untuk hutang kereta.
Dia kini berhasrat untuk membeli rumah, berharga RM100,000, dan itu bererti gajinya akan dipotong RM800 sebulan untuk tempoh 30 tahun. Dia juga berhutang kad kredit. Malah, di kantin tempat dia bekerja pun dia ada buku hutang.
Pendek kata, sejak mula masuk universiti, hingga pencen nanti, dia sentiasa membayar hutang. Tetapi dia bangga berhutang sebab “kalau orang memberi kita hutang itu ertinya dia percayakan kita!”
*HARAP-HARAP anak kawan saya itu akan terus menjadi peminjam yang baik dengan membayar dan melangsaikan apa sahaja hutang. Tetapi bukan semua orang jujur dan amanah macam dia!
Ramai juga yang suka berhutang, tetapi tidak suka membayar balik. Oleh sebab mudah mendapat hutang – kad kredit, Mara, Tekun, dan lain-lain agensi – ada yang tidak menghargai pinjaman diperoleh.
Ada yang dapat pinjaman perniagaan RM ratus-ratus ribu tidak menggunakan duit dengan bijak. Belum apa-apa sudah tukar kereta baharu, malah ada juga yang beristeri baharu.
Akhirnya bisnes entah ke mana, kereta tersadai, isteri baharu pun lari, dan hutang tidak dibayar. Diisytiharkan muflis pun dia tenang sahaja. Malah ada orang yang berhutang memang dengan niat untuk tidak membayar balik. Pada hal dia tahu hutang wajib dibayar.
*AKHIR kalam, setiap hari ada petunjuk baharu. Setiap hari ada sahaja objek yang dikesan satelit – setakat ini sudah lebih 400 objek berjaya dikesan di kawasan pencarian di Lautan Hindi.
Tetapi sampai kini, sudah lebih 20 hari, pesawat MH370 bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal, masih belum ditemui. Marilah kita sama-sama berdoa semoga yang hilang ditemui dalam waktu terdekat, tidak kira apa keadaannya.
No comments:
Post a Comment