Wednesday 5 March 2014

Kenyataan Anwar 'dajjal' tidak jejaskan kredibiliti beliau - AMK


Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip. Gambar dari laman Facebook

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia beranggapan bahawa kenyataan Presiden JATI, Datuk Dr Hasan Ali terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini tidak akan jejaskan kredibiliti Ketua Pembangkang itu.

Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip berkata semua komen Hasan itu adalah semata-mata fitnah dan sengaja ditimbulkan sewaktu menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang akan diadakan pada 23 Mac ini.

"Ini propaganda buruk bertujuan hendak merosakkan imej Datuk Seri Anwar dan juga bertujuan menarik perhatian pengundi Islam di Kajang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Hasan bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam baru-baru ini telah mendakwa Anwar, yang juga calon di DUN Kajang, 'tidak layak' dipilih sebagai pemimpin.

Selain itu mereka juga telah mendakwa Ketua Umum PKR itu mempunyai sifat-sifat 'kedajjalan' dan akan membawa negeri Selangor ke arah liberalisme andai dipilih menjadi Menteri Besar nanti.

Ditanya sama ada AMK mahu Hasan dan NGO-NGO tersebut memohon maaf, Rozan berkata mereka hanya perlu memohon maaf kepada Anwar kerana ianya lebih kepada isu peribadi.

"Ini isu peribadi...tak ada nilai. Cuma mereka kena mohon maaf pada Anwar sahaja. Kami anggap buat lah apa-apa kenyataan pun, kami yakin ia tidak akan jejaskan kredibiliti Anwar sebagai seorang pemimpin dan tokoh Islam," ujarnya sambil memberi contoh kepimpinan Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan ketokohan Islam beliau sewaktu beliau menjadi pemimpin Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM).

Dalam pada itu, Rozan juga menyelar fungsi kumpulan NGO itu kerana tidak membuat apa-apa tindakan apabila timbul isu yang lebih besar dan lebih serius melibatkan akidah dan Islam.


AMK Pulau Pinang desak Hasan Ali mohon maaf

Sementara itu, AMK Pulau Pinang menuntut agar Hasan Ali memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau terhadap Anwar itu.

Menurut ketuanya, Dr Afif Bahardin, kenyaatan Hasan yang mengatakan bahawa mengundi Anwar pada pilihan raya kecil DUN Kajang boleh menghancurkan akidah, adalah berniat jahat dan tidak berasas.

"Kenyataan Hassan Ali itu adalah tidak berasas, juga tanpa sebarang fakta dan merupakan satu fitnah. Fitnah itu adalah salah satu dosa besar dalam Islam dan saya yakin beliau sendiri tahu bahawa sikap fitnah-menfitnah ini dicela," katanya dalam sebuah kenyataan pada Rabu.

Afif turut mempertahankan kredibiliti Anwar sambil memberi contoh tentang ketokohan Anwar sebagai seorang wakil rakyat dan pemimpin Islam.

"Ketokohan beliau di dalam dunia Islam juga diiktiraf di peringkat global dan seringkali dirujuk untuk menjadi jambatan penghubung di antara dunia Barat dan Islam," ujarnya.

Oleh yang demikian, Afif telah menggesa Hasan supaya memuhasabah diri serta bertaubat atas kenyataannya yang disifatkan beliau sebagai 'fitnah berunsur jahat'.

Pada Isnin lalu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi perbincangan telah mengemukakan 20 alasan syarie untuk pengundi-pengundi di Kajang tidak memilih Anwar pada 23 Mac ini kerana menurut mereka Anwar tidak layak memimpin.

Menurut Hasan Ali, Anwar tidak layak untuk bertanding kerana tidak memenuhi mana-mana kriteria sebagai calon di situ.

Hasan dan NGO-NGO tersebut juga telah mendakwa bahawa jika Anwar menjadi Menteri Besar Selangor, beliau akan mengubah undang-undang negeri itu kepada undang-undang yang lebih 'liberal'.

Selain itu, mereka juga mendakwa Anwar mempunyai sifat-sifat 'kedajjalan' serta ideologi yang dibawanya juga telah 'menyimpang dari ajaran Islam'.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment