Wednesday 5 March 2014

Jenazah Koperal dibunuh warga asing selamat dikebumi


KUALA KANGSAR: Jenazah Koperal Raja Aizam Raja Mohid yang maut selepas diserang hendap oleh sekumpulan warga asing di Klang, Selangor awal Selasa, selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sayong Lembah, di sini malam tadi.

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi rumah ibunya Sapiyah Endut, 79, apabila kaum keluarga dan sahabat handai yang menunggu sejak 2 petang menitiskan air mata sebaik jenazah Allahyarham tiba dari Klang, sebelum solat Isyak.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Khariah untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Dalam kejadian pukul 5 pagi di Taman Sentosa, Raja Aizam, 55, dan rakan setugas Koperal Mohd Aidil Mustafa, 29, diserang hendap oleh sekumpulan warga asing ketika mereka melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

Susulan itu berlaku pergelutan yang menyebabkan Raja Aizam cedera di kepala dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah manakala Mohd Aidil cedera di muka dan kini dirawat di hospital sama.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Nor Salmah Nordin, 52, serta empat anak.

Sementara itu, adik bongsu Allahyarham, Raja Azizul Azan, 53, ketika ditemui pemberita di rumah ibu mereka, berkata beliau tidak akan memaafkan orang yang membunuh abangnya.

"Saya terkilan kerana abang pergi dalam keadaan ngeri dan kejam," katanya.

Menurut Raja Azizul Azan, sekalipun tinggal berjauhan, mereka rapat dan kali terakhir beliau menghubungi abangnya ialah pada Selasa lepas.

"Saya tinggal di Raub dan kali terakhir kami bertemu pada hari raya dua tahun lepas," katanya.

Sementara itu, abang ipar Allahyarham, Mohd Shaari Nordin, 68, berkata kali terakhir beliau bertemu arwah ialah pada bulan lepas.

"Saya tidak menyangka perbualan saya bersama arwah mengenai risiko sebagai seorang tentera dan polis merupakan perbualan kami yang terakhir," katanya.

Mohd Shaari yang merupakan pesara tentera berkata Allahyarham kerap pulang ke kampung menziarahi ibunya.

"Masa jumpa kali terakhir arwah tidak tunjukkan sebarang perubahan," katanya.

Bernama

No comments:

Post a Comment