Wednesday 5 March 2014

5.8 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas mengidap hipertensi


PUTRAJAYA : Kira-kita 32.7 peratus atau 5.8 juta rakyat negara ini yang berumur 18 tahun dan ke atas‎ kini mengidap hipertensi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam‎ berkata, seseorang individu dikatakan mengidap hipertensi‎ jika mempunyai tekanan darah melebihi 140/90 mmHg.

"Antara langkah yang paling menjimatkan untuk mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit adalah melalui aktiviti promosi kesihatan kepada masyarakat.

"Sementara, antara tabiat yang mempu mengurangkan pengambilan garam adalah dengan membaca label makanan dan membuat pilihan produk kurang garam," katanya.

Subramaniam berkata demikian ketika merasmikan Minggu Kesedaran Garam Sedunia yang ke-7 di sini.

Ia akan disambut pada 10 sehingga 16 Mac ini dengan tema yang dipilih adalah "Berhenti, lihat dan pilih yang rendah garam".

Jelas Subramaniam, pengambilan garam berlebihan meningkatkan tekanan darah dan seterusnya meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.

"Kerana itu pada tahun ini, fokus utama akan diberikan kepada membaca dan memahami pelabelan makanan bagi kandungan garam," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, Kementerian Kesihatan sedang merangka strategi pengurangan garam terutama daripada kicap soya yang menyumbang kepada kandungan garam tinggi.

"Satu kajian menunjukkan purata pengambilan garam adalah 8.7 gram sehari iaitu 1.7 kali ganda lebih tinggi berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu hanya 5 gram sehari.

"Selain itu, kajian turut menunjukkan kaum lelaki didapati mengambil lebih banyak garam berbanding wanita," jelasnya.

Tambah Subramaniam, usaha itu turut disokong pihak industri makanan yang mengurangkan garam sebanyak 2 sehingga 40 peratus.

Katanya, pihak industri juga mengambil langkah pengurangan kepada lebih 30 item makanan seperti biskut, kicap, mee segera dan daging beku.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment