Wednesday 26 March 2014

Keluarga penumpang berhimpun di hadapan kedutaan Malaysia di Beijing

Kawalan ketat di hadapan bangunan kedutaan Malaysia di Beijing berikutan bantahan sebahagian ahli keluarga penumpang MH370 yang sedih mendengar berita nasib pesawat. - Foto AFP


BEIJING: Kira-Kira 200 anggota keluarga 154 penumpang warga China dalam pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 hari ini berarak dengan membawa sepanduk di depan Kedutaan Besar Malaysia di sini bagi melahirkan kekecewaan mereka berkaitan berita tentang nasib pesawat itu yang diterima semalam.

Mereka memakai kemeja T putih yang tertera ayat 'Pray for MH370',melaungkan "pulangkan semula keluarga saya" ketika berarak ke arah kedutaan itu.

Pada mulanya, tunjuk perasaan itu berlangsung secara aman namun bertukar menjadi tidak terkawal apabila mereka dihalang memasuki premis berkenaan oleh anggota keselamatan yang berkawal di depan kedutaan berkenaan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa data yang dikeluarkan satelit milik British iaitu Inmarsat merumuskan bahawa penerbangan pesawat Boeing 777-200ER milik MAS itu berakhir di selatan Lautan Hindi.

"Justeru itu dengan perasaan sedih dan kesal yang amat sangat, saya perlu memaklumkan anda bahawa menurut data baharu ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata syarikat itu akan menguruskan untuk membawa anggota keluarga penumpang ke kawasan penemuan pesawat berkenaan, jika mereka ingin berbuat demikian, selepas menerima kebenaran daripada pihak berkuasa yang melakukan siasatan.

Beliau berkata MAS akan terus membantu keluarga terbabit dengan program khidmat sokongan komprehensif menerusi sekumpulan 700 petugas yang dedikasi dengan dua orang bagi setiap keluarga penumpang dan anak kapal MH370.

"Ketika ini kami menyediakan khidmat sokongan kepada lebih 900 orang di bawah program ini dan sejak 72 jam lepas, kami telahpun melatih 40 petugas tambahan bagi memastikan keluarga terbabit mempunyai akses kepada khidmat sokongan 24 jam sehari," katanya.

MAS telahpun menyediakan bantuan kewangan permulaan sebanyak US$5,000 bagi setiap penumpang kepada waris terdekat dan sedia menawarkan bantuan tambahan jika pencarian diteruskan. -- Bernama

No comments:

Post a Comment