Wednesday 26 March 2014

Bantah pelantikan pengerusi JKKK

Bantah pelantikan pengerusi JKKK
Yahya (dua, kiri) dan beberapa ahli Umno cawangan Kampung Mata Air, Mukim Gajah Mati melihat surat yang perlu dipatuhi ketika mengadakan mesyuarat Umno Penggal 2014-2016.


POKOK SENA - Ahli Umno cawangan Kampung Mata Air, Mukim Gajah Mati, dekat sini, kecewa dengan tindakan Umno Bahagian Pokok Sena yang dikatakan mengubah pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di cawangan itu.

Difahamkan, pada 28 Januari lalu mesyuarat pemilihan Pengerusi JKKK Penggal 2014-2016 telah diadakan dan kesemua ahlinya sudah melantik pengerusi baru di cawangan itu dengan mengekalkan kepimpinan lama.

Ahlinya mendakwa selepas nama jawatan itu dihantar ke Pejabat Umno Bahagian Pokok Sena, nama pemimpin yang dipilih itu telah disisihkan dan diganti dengan nama lain, ini menyebabkan ahli cawangan berkenaan merasa tidak puas hati dan kecewa dengan tindakan terbabit.

Ahlinya, Yahya Musa, 54, berkata, ahli Umno di cawangan itu kecewa kerana nama kepimpinan yang mereka pilih dipadamkan oleh Umno Bahagian tanpa memberi sebarang alasan.

Katanya, semasa mesyuarat dan pemilihan pelantikan Pengerusi JKKK itu diadakan, mereka telah mengikut segala kriteria yang ditetapkan oleh Umno Bahagian Pokok Sena dengan disertai oleh dua pemerhati daripada Umno Bahagian.

“Bagaimanapun ahli Umno di sini terkejut apabila dimaklumkan nama lain telah dilantik menerajui kepimpinan Umno cawangan ini. Tindakan itu sungguh mengecewakan ahli Umno di sini kerana sebelum ini Umno Bahagian sendiri sudah berjanji akan melantik jawatan Pengerusi JKKK yang dilantik oleh ahli cawangannya sendiri.

“Jika masalah ini tidak dapat diselesaikan sudah pasti hubungan pucuk pemimpin dengan akar umbi akan bermasalah dan secara tidak langsung menjejaskan persiapan pilihan raya akan datang,” katanya.

Bagi Rosli Che Mat, 44, pula, pelantikan Pengerusi JKKK oleh Umno Bahagian Pokok Sena itu tidak menepati kepimpinan yang ahli Umno di cawangan itu mahu sendiri.

Katanya, ahli Umno di Kampung Mata Air itu lebih tahu peribadi dan sikap kepimpinan yang mereka memilih jika dibandingkan dengan pilihan Umno Bahagian Pokok Sena itu.

“Bagaimanapun, ahli cawangan ini akan tetap mempertahankan kepimpinan yang kami lakukan pada mesyuarat yang lalu. Ini disebabkan pengerusi yang kami lantik itu adalah seorang mudah didekati dan diterima oleh masyarakat di kampung ini.

"Di samping itu juga beliau mudah berurusan dan lebih terbuka untuk menerima pendapat orang ramai bagi membuat sebarang keputusan dalam setiap mesyuarat. Ciri-ciri inilah yang penduduk mahu sebagai seorang pemimpin," katanya.

Oleh itu, diharap Pejabat Menteri Besar akan campur tangan bagi menyelesaikan masalah ini dengan segera.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment