Thursday 27 March 2014

Empat kali tercalon, kali kelima muncul pemenang


KUALA LUMPUR:  Juara Formula Satu empat kali dari Jerman Sebastian Vettel terpilih sebagai Atlet Lelaki Terbaik pada Anugerah Dunia Sukan Laureus 2014 yang diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Beliau menewaskan Cristiano Ronaldo (bola sepak), Rafael Nadal (Tennis), Usain Bolt (olahraga), Mo Farah (Olahraga) dan Lebron James (bola keranjang).

Kejayaan Sebastian Vettel lebih memberi kepuasan kepada pemandu muda Jerman itu, yang tercalon sebanyak lima kali untuk menerima Anugerah Laureus, sebelum akhirnya memenanginya. Kejuaraan kali keempat berturut-turut pada 2013 meyaksikan namanya menyertai legenda sukan permotoran Juan Manuel Fangio, Michael Schumacher dan Alain Prost, kesemuanya menang empat kali, tetapi beliau melakukannya lebih awal berbanding tiga legenda tersebut - pada usia hanya 26 tahun dan 116 hari.

Sementara itu, Anugerah Atlet Wanita Terbaik menjadi milik perenang berusia 18 dari Amerika Syarikat Missy Franklin. Beliau menewaskan nama-nama hebat lain seperti Serena Williams (tenis), Nadine Angerer (Bolasepak), Shelly-Ann Fraser-Pryce (Olahraga), Yelena Isinbayeva (Olahraga), dan Tina Maze (Ski)

Missy Franklin menjadi nama sensasi pada Kejohanan Renang Dunia di Barcelona, menjadi perenang wanita pertama dalam sejarah memenangi enam pingat emas dalam satu kejohanan dunia - tiga dalam acara individu dan tiga berganti-ganti - pada usia hanya 18 tahun. Beliau juga enggan menerima hadiah kemenangan dan tajaan supaya dapat memastikan beliau mengekalkan status amatur ketika berada di kolej.

Penunggang Sepanyol, Marc Márquez menerima Pencapaian Cemerlang Laureus, selepas memenangi Kejuaraan MotoGP Dunia pada usia 20 tahun dan 266 hari. Bayern Munich terpilih sebagai penerima Anugerah Pasukan Terbaik Tahunan Laureus, manakala pemain tenis Rafael Nadal menerima Anugerah Kebangkitan Semula Terbaik Tahunan.

Laureus

Rafael Nadal, Sebastian Vettel dan Missy Franklin merupakan diantara pemenang Anugerah Dunia Sukan Laureus 2014 yang diadakan di Kuala Lumpur pada malam Rabu.


Anugerah Dunia Sukan Laureus adalah penghormatan perdana dalam kalendar sukan antarabangsa. Pemenangnya yang dipilih oleh sekumpulan ahli Akademi Dunia Sukan Laureus, panel juri tertinggi yang dianggotai 46 ahli sukan lelaki dan wanita terhebat.

Kutipan daripada Anugerah Dunia Sukan Laureus memberi manfaat secara langsung dan menyokong kerja-kerja yayasan Laureus Sports for Good Foundation.

No comments:

Post a Comment