Saturday 22 February 2014

Penangan 'gunung berapi' Pompeii

Penangan 'gunung berapi'

BAGI anda yang meminati sejarah, atau pernah membaca mengenai kisah bandar Pompeii, anda pasti mengetahui mengenai sebuah bandar terkaya pada zaman purba. Sumber pendapatan yang berlimpah ruah dan hidup mereka yang cukup senang lenang.

Tanah Pompeii dianugerahkan kesuburan yang amat baik dan industri pertanian merupakan industri yang utama dalam menjana ekonomi Pompeii. Selain dari bidang pertanian, Pompeii juga menjadi tumpuan pedagang dari luar dan dalam Rom untuk berdagang.

Melalui pertembungan budaya yang pelbagai ini dipercayai menjadi di antara penyebab terhakisnya norma-norma kemanusiaan dan keagamaan dalam diri setiap masyarakat Pompeii.

Kota yang terletak berdekatan dengan kota Naples di mana pada sekarang ini termasuk dalam wilayah Campania, Itali, merupakan sebuah bandar yang mengamalkan hubungan sejenis dan hamba abdi secara berleluasa.

Aktiviti maksiat berlarutan sehingga perkara yang tidak diingini berlaku secara tiba-tiba di mana gunung berhampiran kota mereka yang diberi nama Vesuvius meletuskan lava panas sehingga membanjiri kota tersebut. Tiada sesiapa pun yang terselamat dari bencana tersebut dan kebanyakan mereka telah bertukar menjadi batu.

Dek kerana sejarah negara itu menarik perhatian syarikat perfileman Hollywood untuk menggarap filem ini ke layar perak menerusi sentuhan Paul W.S. Anderson.

Filem yang mempertaruhkan muka baru seperti Kit Harington, Emily Browning, dan Carrie-Anne Moss sebagai teraju utamanya mengisahkan seorang hamba dan gladiator Celtic bernama Milo (Harington) yang jatuh cinta dengan seorang wanita bangsawan Cassia (Browning).

Milo juga mempunyai dendam lama untuk membunuh orang yang bertanggungjawab membunuh ibu bapa dan kaumnya ketika dia masih kecil. Namun, sebelum itu pelbagai cabaran yang dihadapi oleh Milo antaranya ialah terpaksa bertarung nyawa melawan tentera Rom dalam gelanggang di hadapan rakyat Kota Pompeii dan tertekan dengan Senator Rom yang ingin berkahwin dengan Cassia.

Kejadian tidak diingini berlaku apabila letusan gunung berapi sudah mula mengeluarkan lava dan menuju ke kota Pompeii. Ramai rakyat lari bertempiaran demi untuk menyelamatkan diri daripada lava tersebut. Milo dan Cassia juga tidak ketinggalan untuk menyelamatkan diri tetapi telah dihalang oleh senator dari Rom yang ingin berkahwin dengan Cassia.

Tanpa adegan terlampau

Biarpun terkenal dengan bandar yang mengamalkan hubungan sejenis dan seks secara terbuka, Anderson tidak menggambarkan bandar tersebut secara jelas di dalam filem ini sebaliknya hanya meletakkan kemajuan bandarnya sahaja.

Bagaimanapun suasana di bandar Pompeii itu sendiri dilihat tidak banyak berubah seperti arca tinggalan yang masih dapat dilihat sehingga kini.

Pada pendapat penulis, Anderson cuba menggarap filem ini sebaik mungkin, namun dek kerana cuba menggambarkan Pompeii sebagai sebuah bandar yang maju tanpa menyentuh mengenai 'keaiban' bandar tersebut, maka perjalanan cerita tersebut agak perlahan.

Namun antara faktor lain yang menarik mengenai filem ini adalah kesan imej janaan komputer (CGI) pada letusan gunung berapi yang nampak 'real' dan seperti benar-benar berlaku.

Anda pasti akan merasa ngeri dengan percikan lava dan letupan yang turut mengakibatkan tsunami ini di dalam filem ini.


Gandingan mantap

Biarpun jalan cerita sedikit perlahan, namun Anderson harus berterima kasih kepada barisan pelakonnya yang berjaya mengemudi filem ini dengan baik sekali.

Meskipun nama mereka tidak sepopular pelakon lain, namun lakonan Harington khususnya berjaya menarik perhatian penonton khususnya.

Dengan kurang dialog dan permainan emosi, Harington sebagai Milo berjaya meninggalkan rasa simpati pada penonton dengan nasibnya yang menjadi yatim piatu pada usia yang masih kecil.

Justeru bagi anda yang ingin mengetahui sejarah Pompeii dan nasib Milo dan Cassia pada bencana letusan gunung itu, jangan lupa menyaksikan filem ini di pawagam.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment