Thursday 20 February 2014

Berundur selepas dengar, 'You go, I go'

Sabah diceroboh

KOTA KINABALU - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa sekumpulan enam atau tujuh penceroboh bersenjata berundur selepas seorang anggota komando VAT69 yang menjalankan misi pengintipan di Kampung Tanduo tahun lepas berkata kepada mereka “You go, I go”.

Komando VAT69 Insp Rosmadi Rosli berkata selepas berkata "You go, I go", ketua kumpulan itu mengangguk dan menuuju ke arah semak sambil memberi isyarat dengan menyilang dua tangannya.

Menjawab soalan dalam pemeriksaan utama oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tentang maksud isyarat itu, Rosmadi berkata beliau berpendapat isyarat itu adalah untuk memaklumkan kepada mereka yang bersembunyi di dalam semak supaya tidak melakukan sebarang tindakan.

Rosmadi, yang mengetuai Pasukan E dalam satu pengintipan jarak dekat pada 1 Mac 2013, berkata selepas kumpulan penceroboh bersenjata itu berundur, beliau dan pasukannya juga beredar kira-kira 500 meter dari tempat kejadian iaitu berhampiran sebuah surau.

Kata pegawai itu, beliau melaporkan kejadian berkenaan, yang berlaku pada jam 7 pagi, kepada Martek VAT69 di Felda Sahabat. 

Menjawab soalan Abdul Gani kenapa beliau tidak menembak para penceroboh bersenjata itu dari jarak jauh, Rosmadi berkata: "Kami ke sana hanya untuk melakukan pengintipan jarak dekat dan diberi arahan supaya tidak melepaskan tembakan, melainkan ditembak terlebih dahulu".

Terdahulu, Rosmadi memberitahu mahkamah bahawa beliau dan pasukannya ternampak enam hingga tujuh orang keluar daripada surau menuju ke arah mereka, dengan beberapa orang daripada mereka memakai pakaian penyamaran dan yang lain pula, berpakaian biasa.

Katanya dua daripada mereka membawa senjata api, manakala selebihnya memegang senjata seperti parang.

Abdul Gani: Apabila anda ternampak mereka, apa yang anda lakukan?

Rosmadi: Saya memberitahu orang saya supaya bersedia menghadapi sebarangkemungkinan.

Abdul Gani: Apabila mereka datang semakin dekat, apa yang terjadi?

Rosmadi: Apabila mereka menuju ke arah kami, mereka memberi isyarat dengan tangan supaya kami meninggalkan tempat itu. Mereka menggunakan sebelah tangan untuk memberi isyarat itu dan sebelah tangan lagi menghayun parang.

Rosmadi berkata penceroboh bersenjata itu berada kira-kira 10 hingga 15 meter dari pasukannya dan seorang daripada penceroboh, yang beliau percaya adalah ketua mereka, berhenti dan memberi isyarat ‘potong kepala’ sambil menghayun sebilah parang.

"Apabila orang berkenaan menunjukkan isyarat ‘potong kepala’, adakah mana-mana orang anda bersuara kepada anda?," tanya Abdul Gani.

Rosmadi: Orang saya berkata ada pergerakan di dalam semak di sebelah kiri mereka, kemungkinan ada orang bersembunyi di situ.

Abdul Gani: Selepas itu, apa tindakan anda?

Rosmadi : Selepas itu, saya mara ke hadapan dan berkata kepada kumpulan penceroboh bersenjata berkenaan “You go, I go”.

Saksi kesembilan ini juga memberitahu mahkamah bahawa pada kira-kira pukul 6 pagi sebelum kejadian itu, beliau dan pasukannya mendengar bunyi enjin sebuah bot, yang bergerak selari dengan garisan pantai menuju ke arah surau berkenaan.

Beliau berkata apabila bot itu lalu di tempat berkenaan, kumpulannya memberi isyarat tangan supaya ia menuju ke arah mereka dan ternampak dua lelaki menaiki bot itu.

Kata Rosmadi, apabila melakukan pemeriksaan, kumpulannya menemukan lapan wanita yang tidak mempunyai dokumen perjalanan di dalam sebuah ruang di bahagian bawah bot itu, tetapi tiada sebarang senjata ditemukan.

"Selepas itu, saya menghubungi polis marin dan kesemua 10 orang yang menaiki bot itu dibawa ke arah Felda Sahabat," katanya dalam perbicaraan 30 individu yang dituduh menjalankan kegiatan berkaitan pengganas di Sabah tahun lepas.

Tertuduh terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan.

Setengah mereka menghadapi tuduhan menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, membawa masuk individu untuk menganggotai kumpulan pengganas atau dengan sukarela melindungi individu yang mereka tahu menganggotai kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Pendengaran di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah ini, bersambung esok. - Bernama

No comments:

Post a Comment