Saturday, 4 January 2014

Warga emas hilang empat hari ditemui

KUALA LUMPUR - Mohamed Nawawi Buntal, 73, yang hilang sejak Rabu lepas ditemui oleh anaknya dalam keadaan lemah hari ini di sebuah hutan kecil di Taman Buana, Petaling Jaya.

Anaknya, Afnida, 37, berkata bapanya ditemui oleh adiknya Mohamed Shukri, 34, dalam keadaan terbaring dengan tangan kiri patah dan kaki kanan terseliuh dipercayai terjatuh ke kawasan curam yang bersemak di dalam hutan kecil itu pada 2.30 petang ini.

Katanya jarak lokasi kejadian dengan rumah tidak sampai dua kilometer.

"Ayah telah dibawa Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Afnida, yang bertugas sebagai pembantu tadbir di PPUM, menjelaskan kehilangan ayahnya menjadi misteri kerana keluarganya mencari ayahnya di kawasan hutan itu sebanyak tiga kali tetapi tidak menjumpainya sehinggalah hari ini.

"Selama empat hari, ayah hanya bergantung sumber air hujan untuk minum dalam keadaan terbaring setelah kakinya terseliuh dan tidak mampu bangkit sendiri, katanya.

Afnida sebelum ini meminta bantuan orang ramai setelah bapanya hilang selepas keluar sendirian dari rumahnya di Pangsapuri Permai, Petaling Jaya, Rabu lepas. 

Sehari selepas kehilangan bapanya, Afnida membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya serta mengedarkan poster gambar bapanya di beberapa tempat serta memuat naik gambar di laman sosial. - Bernama

No comments:

Post a Comment