FILEM Paranormal Activity bukanlah lagi satu filem asing, bukan sahaja di Hollywood, bahkan di seluruh dunia.
Mula menarik perhatian ramai menerusi filem pertamanya yang diarahkan oleh Oren Peli, Paranormal Activity pada 2007, filem berkenaan terus menghasilkan francais dengan menerusi sekuel iaitu Paranormal Activity 2 yang diarahkan oleh Tod Williams pada 2010.
Setahun selepas itu, Paranormal Activity 3 menemui penonton yang memperlihatkan gandingan Henry Joost dan Ariel Schulman selaku pengarah.
Sekali lagi, atas sambutan yang cukup menggalakkan, Paranormal Activity 4 ditayangkan pada 2012, yang memperlihatkan sekali lagi Joost dan Schulman diberi kepercayaan selaku pengarah bersama.
Namun dalam keghairahan menghasilkan Paranormal Activity, siri keempat filem ini seolah-olah hilang taring dan ada di antara peminat setia siri ini mengklasifikasikan Paranormal Activity 4 sebagai filem siri itu yang paling teruk pernah ditayangkan.
Justeru, bagi mengembalikan semula kepercayaan peminat terhadap francais Paranormal Activity, Christopher B. Landon diberi kepercayaan selaku pengarah untuk menghasilkan siri kelima iaitu Paranormal Activity: The Marked Ones.
Penuh kejutan & debaran
Bukan hanya bertindak selaku pengarah, Landon juga selaku penulis untuk filem yang dijayakan oleh Andrew Jacobs selaku Jesse, Jorge Diaz sebagai Hector dan Gabrielle Walsh (Marisol).
Selain itu, filem ini dibantu Richard Cabral, Carlos Pratts, Catherine Toribio, Noemi Gonzalez, Gigi Feshold, David Saucedo dan Julian Works.
Istimewanya, Paranormal Activity: The Marked Ones menyaksikan kemunculan semula Molly Ephraim sebagai Ali Rey yang pernah terlibat dalam kejadian menyeramkan dalam siri kedua dan adik beradik, Katie dan Kristi yang dijayakan oleh pelakon sama iaitu Chloe Csengery dan Jessica Tyler Brown, sebagai pelakon utama dalam siri ketiga.
Bukan hanya kemunculan semula pelakon dalam siri terdahulu yang menjadi daya penarik dan membuatkan siri-siri sebelum saling berkaitan, The Marked Ones turut menyebabkan jantung anda berdegup laju dan beberapa kali menjerit kerana kejutan yang datang tanpa di duga.
Kelainan ini akan menyebabkan anda akan lebih berpuas hati dan mempunyai keinginan untuk mengetahui apa kisah dan misteri yang berlaku di sebalik kejadian-kejadian yang mengejutkan.
Dengan kemunculan karakter baharu, The Marked Ones kali ini mengisahkan tentang kisah sekumpulan remaja Latin yang berdepan dengan masalah apabila salah seorang rakan mereka dirasuk.
Ianya bermula apabila kumpulan remaja terbabit bertindak menyiasat dengan lebih terperinci mengenai kematian seorang wanita sebelum mendapat tahu rakan mereka terlibat dengan kuasa ilmu hitam sejak bertahun lamanya.
Lebih realistik
Jika sebelum ini, tidak ada ada kemunculan entiti untuk menakutkan para penonton, Landon telah memasukkan elemen itu dalam filem ini termasuk lebih banyak babak pada waktu malam yang menyumbang kepada rasa debar dan cemas kepada penonton.
Justeru kali ini, tidak ada lagi elemen bercakap berseorang, atau kelengkapan terbang tanpa penjelasan, sebaliknya anda akan menjerit ketakutan, waima melibatkan babak terjun bangunan.
Bukan itu sahaja, lakonan penuh perasaan dan emosi Jacobs sebagai Jesse akan membuatkan anda memejamkan mata setiap kali kamera terarah kepada wajahnya ketika dia dirasuk.
Teknik memeningkan kepala
Masih lagi mengekalkan teknik rakaman sebenar (live recording) atau ‘found footage’, yang dirakam terus pelakon atau kamera berhampiran, pasti akan membuatkan anda sesekali merasa pening.
Ia juga membuatkan anda berasa tidak puas untuk menyaksikan apa yang terjadi seterusnya atau apa yang sedang berlaku tatkala melibatkan beberapa babak yang menarik.
Namun dari sudut yang menariknya pula, ia akan menyebabkan anda sentiasa di buru ketakutan sepanjang satu jam 24 minit filem ini ditayangkan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan babak malam.
Justeru, bagi yang ingin merasai sendiri tahap ketakutan dan kejutan yang tidak dijangka, jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam berdekatan.
No comments:
Post a Comment