Patmavathy dan Subramaniam
JOHOR BAHRU - Kemusykilan ahli keluarga yang gagal menghubungi kakaknya sejak tiga hari lalu terjawab apabila menemui mereka dalam keadaan berlumuran darah dan tidak bernyawa.
Rakan mangsa, W Timothy berkata, adik mangsa bimbang dengan keselamatan kakaknya yang tidak menjawab panggilan telefon sejak Isnin lalu.
Menurutnya, mereka yang curiga dengan situasi itu bergegas ke kediaman mangsa di Villa berhampiran Kipmart Tampoi, di sini.
Setibanya di villa berkenaan, mereka terkejut apabila menemui AT Patmavathy, 63, bersama anak bongsunya, R Subramaniam, 40, berlumuran darah serta tidak bernyawa lagi dalam bilik tidur utama.“Saya dimaklumkan adik Patmavathy dah tiga hari menghubunginya, tapi tak berjawab.
“Mereka bimbang kerana Patmavathy yang merupakan ibu tunggal hanya tinggal berdua bersama anak bongsunya.
“Kami agak terkejut sebaik masuk ke dalam rumah yang tidak berkunci menemui mayat mangsa dalam keadaan lalu menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA), semalam.
Timothy berkata, mangsa bersama anaknya yang merupakan seorang kontraktor tinggal bersama dengan dua pekerja warga Pakistan di rumah terbabit.
“Kita dapati dua pekerja Subramaniam yang tinggal bersama mereka menghilangkan diri.
“Saya tak berani nak tuduh, tapi ada kemungkinan besar mereka (warga Pakistan) itu terlibat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim ketika ditemui mengesahkan kejadian terbabit.
Katanya, polis sedang giat menjejaki dua suspek warga asing berusia 30 tahun untuk membantu siasatan ke atas kes berkenaan.
“Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 1 pagi melibatkan kematian ke atas ibu dan anak yang asalnya tinggal bersama warga asing.
“Ketika ditemui, anak dan ibu ini sudah meninggal dunia dan siasatan awal mendapati terdapat pergelutan antara suspek bersama mangsa,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas pisau dan gunting ditemui di rumah terbabit.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kita percaya tiada unsur samun. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment