Friday 3 January 2014

PR: Rampasan Bible tambah ketegangan penganut Islam, Kristian

-gambar arkib

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat telah menyuarakan kebimbangan akan kesan ke atas hubungan antara penganut Islam dan Kristian susulan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di pejabat Persatuan Bible Selangor (BSM).

Dalam serbuan tersebut, JAIS telah membuat rampasan lebih 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban semalam.

Menurut Ahli Parlimen PAS Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, walaupun tindakan JAIS itu berasaskan Enakmen 1988 (Kawalan Penyebaran Agama kepada Orang Muslim), ia telah meninggalkan kesan yang berbekas dalam hubungan antara agama di negara ini.

“Persoalan kebebasan agama yang termaktub dalam perlembagaan kita dengan mengambil kira Islam sebagai agama rasmi Persekutuan seolah-olah tercemar dengan tindakan JAIS dan mengisyaratkan sesuatu yang bercanggah dengan perintah dan firman Allah yang maksudnya “Tiada kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk membawa Rahmat ke Alam ini” (Al Anbiya: 107),” kata Mujahid.

Katanya, hubungan Islam dengan bukan Islam adalah bersandarkan “Tiada paksaan dalam agama” (Baqarah: 256).

“Itu adalah janji dan jaminan kerahmatan Islam kepada penganut agama lain termasuk hak memiliki kitab agama masing-masing. Oleh kerana itu apa saja tindakan yang bertentangan dengan prinsip ini dianggap mencemari nama baik Islam.”

Mujahid berkata hanya dengan tertera perkataan “Allah” dalam Bible bukan alasan untuk mengambil tindakan tanpa bukti kukuh unsur penyebaran dan menggugat akidah tauhid umat Islam.

“Jika ada apa-apa bukti bahawa pihak tertentu menyebarkan atau menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam dengan menggunakan kalimah ‘Allah’ maka pihak yang terlibat hendaklah diambil tindakan kerana menyalahi semangat kebebasan agama dengan mengambil kira Islam sebagai agama rasmi Persekutuan,” katanya.

Katanya, merampas kitab suci penganut agama lain walaupun atas nama larangan menggunakan perkataan “Allah” perlu ditangani dengan hikmah dan teliti kerana ia akan memburukkan sifat Rahmat Islam kepada semua penganut beragama.

“Memaksa orang lain dalam agama bukan bererti secara fizikal sahaja tetapi menentukan apa yang boleh dan tidak boleh ke atas agama lain juga adalah bentuk paksaan yang dilarang oleh Islam seperti perintah Allah:

“Jika Tuhan mu mengkehendaki (wahai Muhammad) nescaya akan beriman seluruh manusia di muka bumi ini, apakah engkau (wahai Muhammad) mahu memaksa orang sehingga mereka menjadi beriman? Tiada jiwa yang boleh beriman melainkan dengan izin Allah lalu Allah jadikan azab pada mereka yang tidak beraqal” (Yunus: 99-100),” Mujahid berkata.

Beliau juga menyeru supaya hak kitab suci agama lain termasuk penganut Kristian hendaklah dipelihara haknya kepada penganutnya kerana "ini menjadi tanggungjawab autoriti agama Islam".

Sementara itu, PKR juga telah menyatakan rasa prihatin untuk melihat konflik yang timbul akibat serbuan oleh JAIS dan bertentangan dengan prinsip-prinsip beragama, Perlembagaan Malaysia dan amalan demokrasi.

“Konflik dan ketegangan yang melanda negara masa kini menampakkan dengan jelas bahawa perhubungan dan persefahaman rakyat Malaysia yang majmuk – pelbagai agama dan etnik – masih berada ditahap meresahkan dan membimbangkan serta perlu kepada usaha penyelesaian yang segera,” kata Ketua Penerangan PKR Dr Muhammad Nur Manuty.

Muhammad Nur berkata PKR menawarkan diri untuk mengambil inisiatif bagi mempertemukan semua pihak yang terlibat duduk dalam satu meja perundingan.

“Kami berpendapat salah faham, prejudis dalam kalangan sebahagian penganut-penganut agama Islam dan Kristian seperti yang telah berlaku kebelakangan ini boleh diselesaikan secara praktis dan harmoni meskipun terdapat beberapa halangan,” kata Muhammad Nur.

Katanya, amalan berdialog bertepatan dengan perintah Allah seperti yang termaktub di dalam al-Qur’an.

Sementara itu, DAP semalam dilaporkan berkata serbuan JAIS itu bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri Najib Tun Razak pada tahun 2011 yang memberi laluan kepada penganut Kristian untuk menggunakan Bible Melayu di Sabah dan Sarawak serta di Semenanjung.

Dalam serbuan semalam itu, tiga lelaki yang bekerja di BSM turut dilaporkan diberkas dan telah dibebaskan selepas beberapa jam.

Enakmen 1988 (Kawalan Penyebaran Agama kepada Orang Muslim) melarang orang bukan Islam di Selangor daripada menggunakan 35 perkataan Arabic, termasuk “Allah”.

Penganut Kristian meliputi kira-kira 10 peratus daripada penduduk Malaysia, atau 2.6 juta orang. Hampir dua pertiga daripada mereka adalah Bumiputera dan sebahagian besarnya berpusat di Sabah dan Sarawak, di mana mereka menggunakan Bahasa Malaysia dan bahasa-bahasa asli dalam amalan agama mereka, termasuk menggambarkan Tuhan sebagai "Allah" di dalam doa-doa mereka dan kitab suci.

- Astro Awani 

No comments:

Post a Comment