Friday 3 January 2014

Sudah ada pengusaha naikkan tambang bas sekolah

KUALA LUMPUR: Di sebalik keriangan kanak-kanak yang memulakan sesi persekolahan pada Khamis, ibu bapa pula dipalit keresahan dan kekecewaan berikutan laporan pengusaha bas sekolah di beberapa negeri menaikkan kadar tambang.

Tinjauan yang dibuat oleh wartawan Astro AWANI di Lembah Klang dan wakil di beberapa negeri turut mendedahkan keresahan ibu bapa terbabit.

Bagi golongan ibu bapa, mereka menyifatkan kenaikan itu bercanggah dengan struktur tambang yang ditetapkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 2009.


 
Sebelum ini Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) bertindak mahu menaikkan tambang bas sekolah sebanyak 40 peratus mulai 1 Januari 2014 jika SPAD tidak mengumumkan kenaikan kadar baru .

SPAD dalam sesi perbincangan bersama PPBSM kemudian mencapai kata sepakat tiada surcaj atau kenaikan tambang bas sekolah sehingga mereka mengumumkan skim baru pada Mac 2014.

Namun persetujuan yang diberikan tidak membawa makna apa-apa apabila terdapat pengusaha perkhidmatan berkenaan di beberapa negeri menaikkan kadar tambang.

Astro AWANI difahamkan, kenaikan itu membabitkan beberapa negeri, termasuk Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak dan Terengganu.

Di Pulau Pinang, pengusaha bas dilaporkan menaikkan kadar tambang antara RM5 hingga RM10.

Ia dikuti Kelantan, yang menyaksikan peningkatan kadar tambang kepada RM50 sebulan berbanding kadar asal RM40 sebulan.

Turut menaikkan kadar tambang dengan kadar sama adalah pengusaha bas sekolah Sarawak dan Terengganu.
 



Sementara itu, dalam reaksi segeranya, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata kenaikan tambang bas sekolah adalah tidak wajar selagi tidak mendapat persetujuan pelbagai pihak.

Ia kerana, kenaikkan tambang perkhidmatan itu akan membebankan ibu bapa yang sedia terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pengusaha bas sekolah perlu meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka jika ingin menaikkan tambang berkenaan.


- Astro Awani

No comments:

Post a Comment