KUCHING - Sebuah restoran yang sering menjadi tumpuan ramai di Jalan Tun Jugah di sini diarah tutup serta-merta oleh Jabatan Kesihatan Bahagian Kuching hari ini berikutan penemuan sarang dan najis tikus.
Sepasukan pegawai dari jabatan itu yang diketuai Penolong Pegawai Kanan Kesihatan Persekitaran Sabri Sahari mengeluarkan surat arahan penutupan dalam Operasi Premis Bersih Kuching 2014 di sini.
"Semasa diperiksa, kami mengesan sarang dan najis tikus dalam kawasan stor penyimpanan makanan dan dapur di premis ini. Sebab itulah tempat ini ditutup untuk tempoh dua minggu supaya pemiliknya dapat menjalankan kerja-kerja pembersihan yang sewajarnya," katanya kepada media yang menyertai operasi itu.
Pemilik kedai berkenaan yang mendakwa dia baru sahaja mengambil alih perniagaan itu tahun ini turut dikompaun sebanyak RM1,000 setelah pekerja-pekerjanya yang menyediakan makanan didapati tidak menjalani latihan pengendali makanan.
Menurut Sabri, kompaun berkenaan dikenakan mengikut Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang mula dikuatkuasakan 1 Jan lepas.
Sabri berkata premis berkenaan akan dibenarkan beroperasi semula hanya apabila pemilik berkenaan melaksanakan langkah-langkah kebersihan yang telah ditetapkan oleh pihak jabatan.
Katanya sepanjang sembilan hari pertama penguatkuasaan peraturan itu, sebanyak 76 buah premis di sekitar bandar raya ini telah diperiksa di mana dua buah premis pengendalian makanan diarah tutup dan kompaun berjumlah RM2,000 dikumpul.
"Pemeriksaan terhadap premis-premis berkaitan akan dilakukan secara berterusan melalui operasi bersama dengan Pihak Berkuasa Tempatan di sini," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment