Thursday 9 January 2014

Melaka tolak Raja Noor Jan

Melaka tolak Raja Noor Jan
Idris dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar menunjukkan surat watikah yang diberikan Raja Noor Jan untuk mengadakan perbincangan.


AYER KEROH – Kerajaan negeri menolak sekeras-kerasnya terhadap sebarang usaha dilakukan sesetengah pihak yang boleh membangkitkan suasana keliru dalam kalangan rakyat Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, menerusi mesyuarat Exco semalam, pihaknya sebulat suara memutuskan tanpa rasa simpati menolak mereka yang cuba menuntut pengiktirafan tertinggi di Melaka selain tidak mengiktiraf pemberian darjah kebesaran oleh pihak tertentu.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu segera mengambil tindakan sewajarnya kerana tindakan itu sudah bercanggah dengan perlembagaan negara.

Idris berkata, perkara itu membabitkan Raja Noor Jan Raja Tuah mengaku sebagai Sultan Melaka, kehadiran Bonda Ratu Nusantara ke negeri ini baru-baru ini, selain tidak mengiktiraf pemberian darjah kebesaran Adat Perpatih Naning kepada pelbagai individu.

“Apakah fungsi Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang boleh mengiktiraf seseorang itu sultan atau tidak.

“Kita menolak dokumen dan individu mengaku sebagai Sultan Melaka kerana Melaka sebuah negeri bersekutu yang ditadbir wakil persekutuan menjadi ketua negeri dan dikenali Yang Dipertua Negeri.

“Dia bukan lahir di Melaka pun untuk menuntut kesultanan yang juga membabitkan beberapa negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Seri Negeri, semalam.

Idris turut hairan berikutan masih ada individu kelihatan kurang siuman untuk bertindak sedemikian selepas Melaka menikmati pelbagai kemajuan.

Katanya, kerajaan negeri akan mengeluarkan warta melibatkan hanya darjah kebesaran, pingat dan bintang yang diberikan Yang Dipertua Negeri boleh diiktiraf peringkat negeri serta negara.

“Mereka yang terima darjah, bintang kebesaran dari kumpulan adat ini tidak layak menerima anugerah daripada Yang Dipertua Negeri dan mana-mana anugerah diberikan sebelum ini akan ditarik balik.

“Pemberian pingat oleh institusi adat ini seolah-olah sudah menjadi kerabat diraja. Ada doktor, peguam yang menerimanya,” katanya.

Manakala, penasihat undang-undang negeri akan mengkaji perkara berkenaan sebelum melakukan tindakan seterusnya.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment