Thursday, 9 January 2014

Datuk Khatijah terkilan isu keluarga diputar belit

Nur Khatijah terkilan isu keluarga diputar belit
Kisah Nur Khatijah yang menggunakan wang syiling untuk membayar yuran mendapat liputan.


SHAH ALAM - Datuk kepada murid miskin, Nur Khatijah Abdullah, 7, iaitu Mohd Rodzi Ariffin, 61, terkilan apabila kenyataannya mengenai nasib mereka sekeluarga diputar-belit melalui beberapa laporan media dan khabar angin di media sosial.

Menurutnya, disebabkan laporan yang tidak tepat itu, pihaknya disoal siasat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas kebenaran kisahnya yang diceritakan kepada media (bukan Sinar Harian) sebelum ini.

“JKM banyak kali telefon saya bertanya betul ke tak dapat Perkeso atau pencen? Apa yang saya dapat jika menipu? Lihat saja rumah saya yang serba kekurangan ni,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di kediaman di Flat Taman Dagang Fasa 2A, Ampang, semalam.

Kisah Nur Khatijah tersebar di laman sosial selepas datuknya membawa bunjut wang syiling berjumlah RM64 untuk membayar yuran sekolah cucunya itu.

Jumlah itu bagaimanapun tidak mencukupi dan terpaksa ditambah atas belas ihsan guru-guru pada hari pertama sesi persekolahan.

Rodzi yang lebih mesra dipanggil Pak Long akui sudah tidak terdaya lagi melakukan sebarang kerja berat sejak berhenti menjadi pemandu bas mini pada tahun 1995 selepas perkhidmatan bas itu dihentikan.

“Ada juga saya ambil upah tempahan buat hulu parang, tetapi tempahan itu bermusim, bukan setiap hari ada yang mahu buat.

“Duit RM64 itu Tijah sudah kumpulkan sejak tadika lagi. Katanya mahu guna untuk bayar yuran sekolah,” katanya sebak sambil memangku cucu kesayangannya.

Pak Long yang juga mengidap sakit lutut bertanggungjawab menjaga Nur Khatijah sepeninggalan isterinya, Shamsiah Yusoff, 55, yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah kilang berdekatan.


Nak jaga tok wan dengan mak

Nur Khatijah yang mesra disapa Tijah seorang kanak-kanak yang mudah mesra, malah ketika dikunjungi Sinar Harian semalam, dia tidak segan untuk duduk dipangku penulis.

“Bila besar nanti, Tijah nak jadi doktor...boleh ubatkan Tok Wan dengan mak (panggilan nenek).

“Nanti Tijah nak kumpul duit banyak-banyak, nak beli laptop,” katanya sambil tersenyum manja.

Menurut Nur Khatijah, jiran tetangga ramai yang gemar beri wang syiling kepadanya dan wang syiling itu akan diasingkan mengikut nilai dalam tabung berasingan.

“Hari-hari Tijah tidur dengan mak...mak yang jaga Tijah...Tijah sayang mak,” ujarnya.

Nur Khatijah obses dengan penyanyi seberang Tegar dan menjadikan penyanyi itu sebagai idolanya, malah setiap hari bait lagu ‘Aku Yang Dulu Bukan Sekarang” sering bermain di bibirnya.


Jaga Tijah hingga akhir hayat

Nenek Nur Khatijah yang mesra dipanggil Mak Long nekad mahu menjaga cucu tunggalnya hingga akhir hayat walaupun keluarganya dihimpit kemiskinan.

“Sejak mak Tijah meninggal masa umur dia dua tahun tiga bulan, Mak Longlah yang menjaga. Dia meninggal kerana sakit barah paru-paru.

“Selama ni, Mak Long rahsiakan saja beban kami kerana tak mahu susahkan orang lain. Kami ada mohon JKM bermula tahun lalu bantuan untuk Tijah...dapatlah sebulan RM100,” katanya.

Mak Long yang bekerja sebagai tukang cuci hanya mempunyai pendapatan sebanyak RM900 sebulan untuk membeli barang keperluan harian dan wang itu yang digunakan untuk perbelanjaan mereka sekeluarga memandangkan suaminya tidak mampu
bekerja lagi.

“Berapa sangatlah jumlah gaji tu kalau nak bandingkan belanja sekarang yang tinggi. Mujur ustazah Tijah, selalu hulurkan wang dan beli apa yang patut,” katanya sebak.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kewangan, boleh berbuat demikian ke akaun Bank Islam atas nama Mohd Rodzi Ariffin 12-12202-023994-9 atau Maybank atas nama Shamsiah Yusoff 1121-8316-7327.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment