Friday 13 December 2013

Tambang LRT dan Monorel di Malaysia antara yang termurah di dunia

KUALA LUMPUR:  Penyemakkan semula struktur tambangpengangkutan awam akan mengambil kira dua perkara iaitu kemampuan orang awam serta kemampanan industri rel di negara ini.


Menurut pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar dua perkara ini adalah penting dalam menentukan kadar tambang baru LRT dan Monorel yang dijangka naik tahun hadapan.

“Sekiranya tambang terlalu tinggi, orang ramai tidak akan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Kalau tambang terlalu rendah, industri rel pula tidak akan mampan dan industri ini akan terus bergantung kepada kerajaan.

“Oleh sebab itu, kita harus memastikan kedua unsur ini diambil kira,” katanya kepada Astro AWANI.

Syed Hamid berkata syarikat-syarikat rel bukan sahaja bergantung kepada tambang semata-mata untuk meringankan kos, tetapi syarikat-syarikat itu juga akan mencari jalan lain untuk pendapatan yang tidak hanya berasaskan tambang.

“Kalau mengikut perbelanjaan sebenar berasaskan kos dan penyelenggaraan, memang harga tiket akan tinggi sekali,” katanya.

Syed Hamid menambah bahawa sekiranya dibandingkan dengan negara-negara lain yang mempunyai industri perkhidmatan rel yang sama, Malaysia adalah antara negara yang mempunyai harga tiket yang terendah.

Menurut satu laporan The Malay Mail bertarikh 11 Disember, Syed Albar berkata tambang itu bakal melalui proses penyemakan semula kerana ia tidak pernah dinaikkan sepanjang lebih kurang 10 tahun dan ianya akan dinaikkan pada tahun hadapan.

ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment